Mahu jadi jurutera! Anak Orang Asli daftar di POLIMAS! Reeny ambil diploma teknologi kejuruteraan!

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
19 August 2025
Akademik, BERITA

KitaReporters

Reeny Rani anak Orang Asli ketika mendaftar di POLIMAS Jitra, Kedah

Seorang anak Orang Asli, Reeny Rani antara 1,190 pelajar baharu yang mendaftar di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra di Kedah. Anak Orang Asli dari suku Temiar itu yang bercita-cita menjadi Jurutera mengikuti bidang Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Plastik.

Peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi terbuka kepada para pelajar yang baharu menamatkan persekolahan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu (2024).

Justeru itu, seorang anak Orang Asli, Reeny Rani, 19, antara 1,190 pelajar baharu yang mendaftar di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra di Kedah bagi sesi 1-2025/2026 pada 27 Julai 2025 lalu.

Anak Orang Asli dari suku Temiar itu yang bercita-cita menjadi Jurutera mengikuti bidang Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Plastik.

Reeeny Rani merupakan anak ketiga dari 5 orang adik beradik daripada pasangan Rani Alang dan Fafeah Alut dari perkampungan Orang Asli di Negeri Perak.

Bekas pelajar SMK Clifford, Kuala Kangsar ini berasal dari Kampung Lalang Baru, Lasah, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak – sebuah perkampungan Orang Asli yang jauh di pedalaman dan hanya boleh diakses melalui jalan balak dan mengambil masa lebih empat jam untuk ke POLIMAS.

“Saya macam tak percaya boleh belajar sampai ke POLIMAS. Saya tak pernah sampai ke Jitra pun sebelum ini dan cara percakapan orang di sini pun lain,” katanya ketika ditemui sambil tersenyum.

Namun begitu, keinginan mendalam dalam bidang kemahiran TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan cita-cita untuk menjadi jurutera telah membakar semangat Reeny untuk terus melangkah jauh dari kampung halaman.

“Saya memilih kursus mekanikal plastik kerana minat saya terhadap penciptaan dan binaan.

“Saya suka bidang yang mencabar dan membina sesuatu. Saya mahu jadi jurutera suatu hari nanti,” ujar Reeny penuh yakin.

Dorongan untuk meneruskan pengajian daripada dorongan abangnya yang kini berkhidmat sebagai anggota polis.

 “Saya nak ikut jejak abang, dapat pekerjaan yang membanggakan. Abang saya menjadi sumber inspirasi saya serta dorongan daripada kedua-dua ibu dan bapanya” katanya.

Reeny menerima bantuan pengajian daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak.

Dengan semangat juang yang tinggi, Reeny kini menanam harapan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan menjadi jurutera berjaya, sekali gus membuktikan bahawa anak Orang Asli juga mampu melangkah jauh dalam dunia pendidikan dan kerjaya. 

Semoga Reeny berjaya mencapai cita-citanya, sekali gus memajukan diri dan keluarganya khususnya, dan masyarakat Orang Asli amnya. – KitaReporters

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti