Pasukan Askar Wataniah POLIMAS buktikan keunggulan, muncul juara keseluruhan MALPTAAC 16

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
19 August 2025
Aktiviti Pelajar, BERITA

Suara. TV

SABAK BERNAM – Pasukan Askar Wataniah (AW) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Malaysia Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri Ke-16/2025.

MALPTAAC 2025 berlangsung di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dekat sini bermula 10 hingga pada 24 Julai lalu.

POLIMAS dalam kenyataan memaklumkan, kejayaan ini diraih hasil gandingan mantap bersama Rejimen 513 AW telah mengatasi 17 buah politeknik dan sepuluh Rejimen Askar Wataniah Siri 500 lain dalam acara yang menguji ketahanan fizikal, mental dan strategi ketenteraan.

Pasukan AW POLIMAS telah mempamerkan konsistensi dan semangat juang tinggi apabila meraih tempat teratas dalam hampir semua acara, membolehkan mereka membawa pulang Piala Pusingan Kejuaraan MALPTAAC 16.

Pasukan AW POLIMAS terdiri daripada 40 peserta dan 4 jurulatih dari Batalion Ketiga Rejimen 513 AW, di bawah pimpinan Mejar Md Nasir Md Safar.

Sebanyak 17 buah politeknik dan 10 buah Rejimen AW siri 500 mengambil bahagian pada edisi kali ini yang telah dihoskan oleh PISIS.

MALPTAAC 16 melibatkan pelbagai aktiviti dan cabaran antaranya, pertandingan Ujian Jalan Laju, pertandingan Multirelay, pertandingan membaca peta, pertandingan menembak senjata colt M16 dan pertandingan sukan bola tampar.

Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata, kejayaan ini begitu membanggakan dan wajar diteruskan dan dipertahankan lagi untuk siri MALPTAAC akan datang.

“Saya amat berasa bangga dengan kejayaan pasukan POLIMAS, ini membuktikan hasil usaha gigih diiringi dengan latihan yang berterusan serta semangat berpasukan yang tinggi akan meraih kemenangan, ”katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menerima piala kemenangan daripada Ketua Pengarah Bahagian Pasukan Simpanan, Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Sani S Omar.

Dalam pada itu, Ketua Pasukan AW POLIMAS, Mejar Md Nasir Md Safar, berkata, kemenangan ini adalah kemenangan bersama.

“Syukur, alhamdulillah dan terima kasih kepada semua anggota AW POLIMAS kerana sanggup berkorban tenaga, masa dan cuti semester demi menggapai misi ini.

“Terima kasih juga kepada pihak pengurusan POLIMAS dan Rejimen 513 AW kerana memberikan sokongan yang jitu sehingga kita menjadi juara, ”katanya.

Anggota AW, Muhammad Faiq Mohammad Bakri merupakan pelajar dari Diploma Kejuruteraan Awam telah berjaya menjadi Juara Penembak Jatuh Piring dan juga Naib Johan Penembak Terbaik Keseluruhan.

“Saya berasa bangga kerana dapat menyumbangkan pingat untuk kejayaan pasukan AW POLIMAS sebagai johan keseluruhan adalah paling bermakna buat diri saya, ”katanya.

Manakala pelajar Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah, Nur Alia Syuhada Shafizul Aimi telah menyumbangkan kejayaan pasukan AW POLIMAS berjaya meraih Naib Johan dalam acara Ujian Jalan Laju dan tempat ketiga bagi acara Pandu Arah.

“Saya amat teruja atas kemenangan ini dan tidak menyangka akan menyumbang pingat kepada pasukan.

“Kemenangan pasukan AW POLIMAS yang dinobatkan sebagai johan keseluruhan amat bermakna kepada saya, ”katanya.

Majlis penutup turut menyaksikan simbolik penyerahan bendera MALPTAAC daripada Pengarah PSIS , Haslinda Abdul Hamid kepada Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Hjh. Salmi Che Meh, sebagai tuan rumah MALPTAAC Siri 17/2026. – SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti