Keratan Akhbar : Jabatan Muzium, PCSS Consultancy akan bekerjasama pulihara bangunan warisan

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
14 August 2025
BERITA, Industri, KERATAN AKHBAR, Kolaborasi, Utusan Borneo

KUCHING – Jabatan Muzium Negeri Sarawak akan menjalinkan kerjasama dengan PCSS Consultancy Sdn. Bhd. untuk memulihara beberapa bangunan warisan miliknya.

Pengarah Perkhidmatan Profesional PCSS Consultancy Sdn. Bhd. Andy Tiong berkata, kedua-dua pihak dijangka akan memulakan perbincangan dalam tempoh sebulan dua dari sekarang.

“Pihak muzium berkata mereka mempunyai bangunan warisan seperti pejabat pos dan bangunan mahkamah lama, sebagai contoh.

“Kita akan membina program ini, dengan memulakan perbincangan sebulan dua ini untuk meihat apa yang akan kita lakukan dengan warisan yang lain.

“Mungkin kita akan membina banyak peta digital, dengan model digital di atas peta yang akan dipamerkan di Muzium Budaya Borneo pada masa hadapan dan dengan mempamerkan semua modelnya disana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penutupan Program Timeless Treasures : The Legacy of Old Hokkien School & Darul Kurnia di pusat beli-belah Plaza Merdeka di sini, semalam.

Andy berkata, semua data tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Muzium Negeri Sarawak.

Menurutnya, projek yang dijalankan pihaknya dengan Kolej Komuniti Kuching ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD).

Manakala, projek yang bakal dilaksanakan seterusnya untuk kerja membaikpulih dan memelihara bangunan warisan akan ditaja oleh Jabatan Muzium Negeri Sarawak, jelasnya.

Menyentuh tentang dua projek yang dilaksanakan untuk Old Hokkien School dan Darul Kurnia, Andy berkata, kedua-duanya mempunyai asas pembinaan struktur yang agak kukuh hingga ke hari ini.

“Ia hanya memerlukan sedikit sentuhan dan ruangan nya boleh digunakan sebagai tempat pameran inovasi atau hasil seni kreatif,” ujarnya.

(Kredit kepada akhbar Utusan Borneo muka surat 8 yang bertarikh 11 Mei 2025)

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti