Pasukan wanita POLIMAS juara Kejohanan Petanque ANGKASA Kedah

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
19 August 2025
Aktiviti Pelajar, BERITA, Sukan

JENDELA MADANI

Pasukan wanita Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) muncul sebagai Juara apabila muncul Juara pada Kejohanan Petanque Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Peringkat Kedah 2025 di Arena Petanque RTC Napoh, Jitra.

Tiga permata POLIMAS ini Najla Qistina Shahrin, pelajar Diploma Pemasaran, Wan Umi Nafeesya Amna Wan Osmadi, pelajar Diploma Teknologi Maklumat dan Noor Afrina Noor Shaharil Anuar, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam.

Dengan lontaran tepat dan strategi mantap, trio ini berjaya menewaskan pihak lawan satu persatu, sekaligus membuktikan semangat dan kerja keras mereka mampu menundukkan pasukan pilihan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengerusi ANGKASA Negeri Kedah Wan Ibrahim Wan Jussoh.

TIGA AHLI PASUKAN

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga ahli pasukan berkata, “Sungguh kami tidak menyangka akan membawa pulang gelaran Juara dalam kejohanan kali ini.

“Namun dengan keyakinan, kerjasama sepasukan dan bimbingan jurulatih, kami berjaya melakar kemenangan ini

Kata mereka lagi, “Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada jurulatih kami, Zul Amalli, serta rakan-rakan yang tidak putus memberi sokongan.

Kemenangan ini adalah hasil latihan yang konsisten, saling percaya antara satu sama lain, dan semangat untuk mengharumkan nama POLIMAS.

DAPAT MEMBAKAR SEMANGAT

“Kami juga berharap kejayaan ini dapat membakar semangat rakan-rakan lain untuk terus menyertai sukan dan membanggakan institusi,” kata mereka.

Jurulatih pasukan, Zul Amalli Harun, yang turut dikenali sebagai ‘arkitek kejayaan’ pasukan, nyata terharu dan berkata, “Saya bangga hingga sebak.

“Mereka bukan sahaja bermain dengan teknik, tapi dengan hati dan semangat,” ujar beliau.

BUKAN KEMENANGAN BIASA

Ini bukan kemenangan biasa ini katanya tetapi hasil disiplin, pengorbanan dan kesatuan jiwa sebagai satu pasukan.

Beliau turut merakamkan penghargaan buat pihak pengurusan POLIMAS dan Koperasi POLIMAS atas sokongan tidak berbelah bahagi dalam membina kekuatan pasukan dari akar umbi.

Kejohanan ini menyaksikan penyertaan sengit dengan 48 peserta lelaki dan 42 peserta wanita, namun pasukan wanita POLIMAS membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pelengkap jadual, mereka adalah juara sebenar di gelanggang. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti