
SUARA.TV
PUTRAJAYA – Pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Mohd Zool Fazlee Basir, berjaya memahat kemasyhuran dan mengangkat martabat negara apabila berhasil membuktikan keampuhan sukan universiti Malaysia di persada antarabangsa.
Mohd Zool Fazlee telah menerima pengiktirafan berprestij dalam Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Hotel Zenith, dekat sini baru-baru ini.
Majlis penuh gemilang itu disusuli dengan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke World University Games (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman.
POLIMAS dalam kenyataannya menyebut penyerahan insentif itu sebagai penghargaan kepada atlet dan pengurus pasukan universiti yang telah mengharumkan nama Malaysia di kejohanan AUG 2024 di Surabaya, Indonesia.
Katanya, WUG 2025 yang sedang berlangsung sehingga 27 Julai 2025 menampilkan lebih daripada 8,500 atlet dan pegawai dari lebih 150 negara yang bersaing dalam 18 sukan musim panas.
“Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke WUG 2025 diketuai oleh Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff bersama-sama 93 anggota, termasuk 64 atlet, 39 lelaki dan 25 wanita daripada 27 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
“Mohd Zool Fazlee yang juga Pengurus Pasukan Petanque Universiti Malaysia ke Kejohanan AUG 2024 telah diraikan atas komitmennya dalam membimbing pasukan negara ke persada antarabangsa.
“Beliau telah berjaya menampilkan pasukan Petanque Malaysia yang handal, meraih insentif berjumlah RM6,000 atas pencapaiannya yang membanggakan di kejohanan tersebut.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Mohd Zool Fazlee atas kejayaan ini.
“Figura yang cemerlang ini telah memberikan komitmen yang tinggi bagi membimbing pasukan sehingga berjaya di arena ASEAN amat membanggakan POLIMAS dan Malaysia.
“Kami percaya pencapaian ini mampu menjadi pencetus inspirasi buat seluruh warga institusi,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu Pengarah POLIMAS, Rosli Idris turut menzahirkan rasa bangga atas pengiktirafan yang diterima oleh Mohd Zool Fazlee.
“Pencapaian beliau bukan sahaja membanggakan, malah membantu melonjakkan nama POLIMAS sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang, malah tenaga pengajar berkaliber yang menyumbang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kejayaan ini akan meningkatkan keyakinan masyarakat dan pelajar bahawa POLIMAS adalah destinasi pilihan terbaik untuk melanjutkan pengajian,” katanya.
Katanya lagi, Mohd Zool Fazlee bukan sahaja telah membuktikan keupayaan sebagai pengurus sukan berwibawa, malah kini terus mencari bakat bakat baru di kalangan pelajar POLIMAS dalam sukan petanque kususnya, untuk dibawa ke Kejohanan Petanque yang seterusnya. – SUARA.TV