Anak Perlis raih Anugerah Pengarah pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-37 POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
19 August 2025
Akademik, Aktiviti Ketua Pengarah, BERITA

JENDELA MADANI

“Usaha tidak pernah mengkhianati hasil.” Itulah prinsip hidup Azry Haikal
Arizal, anak muda kelahiran Kangar, Perlis yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-37 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) hari ini (14 Julai).

Graduan Diploma Seni Bina berusia 22 tahun itu bukan sahaja mencatat pencapaian cemerlang dalam akademik, malah turut menyerlah dalam pelbagai pertandingan dan aktiviti kemahiran sepanjang tiga tahun pengajiannya di POLIMAS.

Azry, anak sulung daripada empat adik-beradik, menzahirkan rasa syukur atas pencapaian tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Allah S.W.T atas segala nikmat ini,” ujarnya.

INGIN MERAKAMKAN PENGHARGAAN

Beliau sangat bangga dengan apa yang telah dicapai di POLIMAS dan ingin merakamkan penghargaan buat semua pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan.

Kini, Azry sedang menimba pengalaman sebagai Technical Assistance di firma TGM Architect, Kangar dan menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah di UiTM bagi mengejar cita-cita menjadi seorang arkitek terkenal negara.

Sepanjang pengajiannya, beliau pernah menerima Anugerah Apresiasi TVET POLYCC Zon Utara 2024 (Kategori Pelajar), muncul Johan Pertandingan BIM, meraih tempat ketiga dalam PolySkills (kategori Digital Construction), dan menyertai Pra Kelayakan World Skills, sekaligus meletakkan beliau sebagai antara ikon TVET yang wajar dicontohi.

Kejayaan Azry turut membanggakan keluarganya.

BERSYUKUR DAN BERBANGGA

Bapanya, Arizal Abdullah, seorang pegawai kesihatan berkata, “Kami amat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian Azry.

Ia hasil usaha gigih dan kesungguhan anak kami.”Manakala ibunya, Mariana Muda, seorang jururawat, berharap pencapaian Azry menjadi inspirasi kepada adik-beradiknya yang lain.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan KolejKomuniti (PolyCC), Datuk Dr Mohd Zahari Ismail menegaskan komitmen PolyCC dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berciri keusahawanan.

“Sebanyak 119 inkubator keusahawanan melibatkan 476 pelajar telah dibangunkan pada tahun 2024 dengan rekod jualan menghampiri RM800,000,” katanya.

MENCECAH 98.8 PERATUS

“Kadar kebolehpasaran graduan juga sangat membanggakan, mencecah 98.8 peratus, hasil kerjasama dengan hampir 20,000 industri di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, RosliIdris menekankan bahawa tema konvokesyen tahun ini, “TVET PolyCC Aspirasi Madani” menyokong misi untuk membentuk graduan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berjiwa rakyat dan bersikap profesional.

“TVET hari ini bukan lagi laluan kedua, sebaliknya adalah landasan utama dalam membentuk masa depan,” katanya.

“Graduan POLIMAS seperti Azry Haikal adalah bukti bahawa TVET mampu melahirkan insan holistik dan mampu menyumbang secara aktif kepada negara,” katanya.

Kejayaan Azry Haikal merupakan simbol bahawa TVET bukan sekadar pendidikan teknikal, tetapi jalan menuju impian yang gemilang. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti