‘Lambaian Kasih’ raikan persaraan Pengarah POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
24 August 2025
BERITA

SUARA.TV

JITRA – Persaraan Hj. Rosli Idris daripada jawatan Pengarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) adalah kehilangan yang amat dirasai oleh seluruh warga POLIMAS.

Mana tidaknya, kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas dimiliki beliau ketika mengemudi dan mentadbir POLIMAS dengan prestasi begitu cemerlang sekali yang ditunjukkannya mengukuhkan kredibiliti institusi itu.

Dalam suasana penuh rasa syukur, bangga dan terharu warga POLIMAS telah meraikan Rosli yang bersara secara rasmi pada 8 Ogos lalu selepas menabur bakti selama 36 tahun 7 hari dalam perkhidmatan awam pada Majlis ‘Lambaian Kasih’ di Dewan Sri Mas, POLIMAS, dekat sini baru-baru ini.

Semua warga POLIMAS, wakil Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), serta para jemputan dari Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang hadir mencerminkan rasa hormat yang tinggi terhadap jasa beliau.

Pada sebelah petangnya, Rosli turut diraikan oleh Pengarah-Pengarah POLYCC Kedah/Perlis dalam Majlis Hi-Tea Perpisahan.

Sepanjang menerajui POLIMAS, Rosli dikenali sebagai seorang pemimpin yang berwawasan, berdisiplin, dan berjiwa pendidik di samping berjaya mencapai pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa, terutamanya dalam bidang inovasi, teknologi dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Rosli berjaya membawa nama POLIMAS sebaris dengan Politeknik lain, antaranya meraih pingat emas & anugerah Best of The Best di MJIC 2025; pingat emas & projek terbaik di IDEANOVA 2025; dua pingat emas di IPITEx 2025 di Bangkok; gelaran Androsot Master & 2 pingat emas di FIRA Malaysia Cup 2025; Pasukan Askar Wataniah (AW) POLIMAS menjadi Juara MALPTACC 2025; penganjuran International Action Research Conference; I-CompEx 2025 & Design Fest; dan menubuhkan Reskiling and Upskilling Centre(RUCMAS).

Selain itu, beliau berjaya menarik masuk geran reskilling dan upskilling sebanyak RM 30,000 melalui Kursus Persijilan Profesional Staf Syarikat Aerospace Composites Malaysia(ACM), dan mendapatkan peruntukan bajet pembangunan yang tinggi bagi menaik tarf fasiliti dan peralatan usang di POLIMAS.

Beliau turut menekankan transformasi akademik dengan memperkukuh hubungan industri, meningkatkan kualiti pembelajaran berasaskan projek, memperluas kolaborasi, serta memodenkan infrastruktur pembelajaran untuk memberi pengalaman pendidikan yang lebih relevan dan berkesan.

Dalam ucapan perpisahannya, Rosli memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana diberi kekuatan dan kesihatan sehingga ke hari persaraan.

“Esok saya akan mula bersara setelah mengharungi perjalanan sebagai penjawat awam dan mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan rasa setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada saya sepanjang perkhidmatan saya di POLIMAS.

“Susah senang mengharungi pelbagai cabaran telah dilalui bersama demi melonjak dan memartabatkan sistem TVET bagi melahirkan graduan yang berkualiti dan menjadi kebanggaan kita di mana-mana, ”katanya.

Beliau turut mengakui bahawa setiap insan tidak terlepas daripada kekurangan, lalu dengan penuh rendah hati memohon kemaafan kepada semua warga kerja dan pelajar.

“Sebagai seorang insan, pastinya ada kelemahan, kekurangan serta kekhilafan yang saya lakukan.

“Justeru, dengan rendah diri dan seikhlasnya saya memohon jutaan ampun dan maaf zahir dan batin kepada semua di sepanjang kita mengenali dan bekerja bersama-sama.

“Selamat maju jaya kepada semua dalam merealisasikan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan POLYCC, ”katanya lagi.

Ucapan beliau disusuli bait pantun yang mengundang rasa sebak dalam kalangan hadirin:

Batu permata elok bertatah,
Hiasan mahkota berintan budi;
Jauh di mata bukan bernoktah,
Kenangan tercipta mekar abadi.

Duduk bersembang berbagai cerita,
Melihat ikan di air tenang;
Salah silap maaf dipinta,
Budi kalian tetap dikenang.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, menyifatkan persaraan Rosli sebagai kehilangan besar kepada institusi.

“Beliau bukan sekadar seorang pengarah, malah mentor dan sumber inspirasi kepada seluruh warga POLIMAS.

“Kepimpinan beliau berjaya memacu POLIMAS ke tahap yang membanggakan, dengan pencapaian yang bukan sahaja diukur pada anugerah dan pingat, tetapi pada nilai insan, disiplin kerja, dan semangat kekeluargaan yang diterapkan.

“Kami amat menghargai jasa beliau dan mendoakan agar beliau terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan, dan ketenangan dalam fasa kehidupan seterusnya, ”katanya.

Dalam masa yang sama, majlis ‘Lambaian Kasih’ turut memaparkan tayangan montaj perjalanan kerjaya beliau, dan persembahan multimedia.

Selain itu, penyampaian cenderahati eksklusif, serta nyanyian lagu-lagu perpisahan oleh warga POLIMAS.

Warga POLIMAS tidak melepaskan peluang merakam kenangan terakhir bersama beliau yang menjadi simbol kepimpinan berintegriti dan teladan dalam dunia pendidikan TVET.

Persaraan Rosli telah meninggalkan legasi kepimpinan dan kecemerlangan TVET yang akan disambung kembali oleh kepimpinan baharu yang akan memantapkan lagi kejayaan akademik dan kokurikulum, tetapi juga akan terus memupuk budaya kerja berpasukan, inovasi berterusan, dan hubungan erat antara POLIMAS dengan komuniti setempat serta dunia industri.

Legasinya akan terus menjadi inspirasi kepada generasi pemimpin pendidikan teknikal akan datang.-SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti