POLIMAS raih kejayaan berganda pertandingan i-CompEx 2025 & cipta rekod MBOR

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
24 August 2025
BERITA, Penyelidikan dan Inovasi

SUARA. TV

JITRA- Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila muncul juara dalam satu kategori, dua naib johan dan satu tempat ketiga pada pertandingan i-CompEx (International and Invention Competition Through Exhibition) 2025 kali ke-13, yang telah berlangsung di Dewan Sri Mas, POLIMAS dekat sini, baru-baru ini.

Lebih bermakna, POLIMAS turut
mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR): Largest Participation in an AI Module Invention Course dalam i-CompEx 2025 melibatkan seramai 6,847 peserta secara dalam talian dalam tempoh 13 hari sahaja.

Pencapaian ini disifatkan sebagai satu kejayaan luar biasa yang selari dengan tema penganjuran tahun ini iaitu “Towards AI-Driven Innovation and Invention.”

Projek Gradview+ Dinobatkan Johan

“Kejayaan paling cemerlang POLIMAS datang menerusi projek Gradview+ iaitu Paparan Tepat, Konvokesyen Lancar yang dinobatkan sebagai Johan Kategori D – ICT dan Multimedia.

Projek inovatif ini dibangunkan oleh Ts. Abdul Aziz Ab Nasir bergandingan bersama rakan penyelidik, Muhammad Khairi Saad, Natasha Niza Najib dan Sa’adiah Mohamad.

Gradview+ merupakan satu sistem aplikasi yang direka khusus bagi menguruskan majlis konvokesyen dengan lebih efisien.

Melalui kaedah imbasan kod bar, sistem ini membolehkan nama graduan, program pengajian dan gambar wajah mereka dipaparkan secara automatik di skrin besar ketika majlis berlangsung.

Sistem ini telah mula digunakan di POLIMAS sejak 2022 dan terbukti menjimatkan kos, meningkatkan kelancaran istiadat serta memberikan pengalaman lebih bermakna kepada graduan dan keluarga.

Lebih membanggakan, sistem ini turut mendapat kepercayaan apabila diguna pakai di majlis konvokesyen Kolej Komuniti Kedah Perlis pada 2024 dan 2025, menjadikannya inovasi yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

Dua Naib Johan & Satu Tempat Ketiga

Selain kejayaan bergelar johan, POLIMAS turut meraih dua naib johan menerusi projek, Kedah E-Heritage 2.0 (Kategori A – Rekabentuk Persekitaran Binaan & Rekabentuk Dalaman) dan Marrtech – Smart Learning Motherboard AR (Kategori H – Pengajaran & Pembelajaran)

Manakala, projek Strapps 2.0 – Mobile Application For Practical Structural Engineering Learning pula berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori Pengajaran dan Pembelajaran.

Kejayaan ini sekali gus meletakkan POLIMAS sebagai antara institusi paling menyerlah pada edisi tahun ini.

i-CompEx 2025: Platform Inovasi Bertaraf Antarabangsa

Penganjuran i-CompEx 2025 menyaksikan sebanyak 401 projek inovasi daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi, sekolah, agensi kerajaan, swasta serta penyertaan antarabangsa dari Arab Saudi, China, United Kingdom, Thailand dan Indonesia.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk Seminar MyIPO, pameran Pusat Sains Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), demonstrasi helikopter kawalan jauh, dron, simulasi robotik, pameran Arkib Negara Malaysia (ANM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Majlis penutupan i-CompEx 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa tema i-CompEx 2025 bukan sekadar slogan, tetapi panggilan untuk semua pihak agar bersedia mendepani masa depan dengan menggabungkan teknologi dan kreativiti manusia.

“Kita sedang hidup dalam era di mana Kecerdasan Buatan (AI) mengubah landskap setiap sektor, daripada pendidikan dan kesihatan sehinggalah kepada industri.

“AI bukan datang untuk menggantikan manusia, sebaliknya untuk memperkasakan kita menjadi penyelesai masalah yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada POLIMAS, UKM dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) atas dedikasi menganjurkan program berprestij ini.

Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR)

Salah satu detik bersejarah pada majlis penutupan adalah penganugerahan Sijil MBOR kepada Pengarah Program i-CompEx 2025 atas kejayaan mencatat penyertaan terbanyak secara dalam talian dalam modul inovasi AI.

Pencapaian ini adalah hasil usaha gigih Jawatankuasa i-CompEx yang berjaya menggerakkan penyertaan besar-besaran dan sekaligus memperkukuh reputasi i-CompEx sebagai platform inovasi pendidikan tinggi teknikal dan vokasional (TVET) terbesar di rantau ini.

Dalam pada itu, Pengarah i-CompEx 2025, Ts Azimah Ismail turut berkongsi rasa syukur atas kejayaan penganjuran tahun ini.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kita telah berjaya melaksanakan Program i-CompEx 2025 dengan jayanya. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa yang terlibat serta semua yang telah hadir bagi menjayakan program ini.

“Kepada semua para peserta jutaan terima kasih saya ucapkan kerana menyokong program ini,”katanya.

Katanya lagi, edisi kali ini lebih istimewa kerana berjaya memperolehi MBOR yang ke-3, selari dengan temanya “Towards AI Driven Innovation and Invention”.

POLIMAS Terus Unggul Dalam Inovasi

Kejayaan POLIMAS pada i-CompEx 2025 sekali lagi membuktikan kemampuan politeknik dalam melahirkan penyelidik dan inovator yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.

Pengiktirafan johan, dua naib johan , satu tempat ketiga serta pencapaian MBOR membuktikan bahawa inovasi bukan sekadar idea di atas kertas, malah berpotensi besar untuk dikomersialkan, dan memberi impak sosial selain meningkatkan daya saing negara.

Dengan pencapaian ini, POLIMAS terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan inovasi TVET, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani untuk melahirkan generasi yang berilmu, beretika dan berdaya saing di persada dunia.-SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti