INDex POLYCC 2025 pacu kolaborasi industri, TVET dan komuniti

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
28 August 2025
BERITA, Kolaborasi

KUANTAN, 20 Ogos 2025 – Program INDex POLYCC 2025 (Industri Nexus POLYCC 2025) berjaya menghimpunkan institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), pemain industri serta komuniti setempat dalam usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.

Program kelolaan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) ini merupakan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), PKT Logistics Group Sdn. Bhd. dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pahang. Program ini melibatkan penyertaan pelajar dan pensyarah POLYCC seluruh Malaysia serta wakil-wakil industri.

Program ini diadakan bagi menghasilkan graduan berkaliber tinggi yang mampu mencipta impak dalam ekosistem pekerjaan global, memperkukuh kolaborasi strategik antara Institusi dan Industri serta memperkasa keusahawanan pelajar dan graduan POLYCC.

Tiga komponen utama menjadi fokus penganjuran iaitu Industrial Engagement Day @ POLYCC 2025 (IED@POLYCC 2025), Young Socialpreneur Programme (YS2P) All Starz 2025 dan Anugerah Apresiasi Industry Education Collaboration (IEC). Kesemua pengisian ini dirangka bagi memberi pendedahan kepada pelajar, membina jaringan kerjasama strategik serta memupuk budaya keusahawanan.

Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim, berkata program ini merupakan bukti komitmen POLYCC dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran pekerjaan masa depan.

“Melalui INDex POLYCC 2025, kita dapat mengintegrasikan usaha pembangunan pelajar, inovasi kurikulum dan kolaborasi industri di bawah satu platform. Usaha ini penting bagi memastikan graduan TVET sentiasa relevan dengan keperluan semasa industri serta mampu bersaing di peringkat global,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan INDex POLYCC 2025 di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan anugerah kepada pemenang-pemenang YS2P All Starz 2025, penyampaian Anugerah Apresiasi IEC serta perasmian Centre of Food Science and Technology (CFoST).

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir, Ketua Pengarah JPPKK, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio yang juga merupakan
Pengerusi Majlis Penasihat Industri Politeknik (MPIP).

Majlis ini juga turut dihadiri Pengurusan Tertinggi dan Pengarah-Pengarah Bahagian JPPKK, Pengarah-Pengarah POLYCC seluruh Malaysia serta wakil-wakil industri.

INDex POLYCC 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam menampilkan pelbagai aktiviti antaranya, sesi dialog bersama industri, taklimat industri, penjurian pitching secara bersemuka, pameran Centre of Technology (COT), taklimat kerjaya, temuduga terbuka serta siswapreneur showcase.

Dengan berakhirnya INDex POLYCC 2025, kerjasama strategik antara POLYCC dan industri diyakini akan terus diperkukuh, seterusnya memacu agenda TVET negara selaras dengan hasrat Malaysia Madani.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti