PERISA’25 ANGKAT BUDAYA INOVASI PENDIDIK TVET

KOLEJ KOMUNITI ROMPIN
23 September 2025
Uncategorized

ROMPIN, 30 Ogos 2025 – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Kolej Komuniti Rompin (KKRP) telah menganjurkan Pertandingan Inovasi TVET 2025 Peringkat Kebangsaan (PERISA’25).

Dengan tema “Inovasi TVET Memperkasa Komuniti MADANI”, PERISA’25 telah berjaya menghimpunkan lebih 115 produk inovasi hasil kreativiti pendidik TVET daripada pelbagai agensi penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti kolej vokasional, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia dan pihak sekolah dalam penganjuran selama tiga hari mulai 28 hingga 30 Ogos 2025 di KKRP.

Program yang disempurnakan oleh Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ini bertujuan untuk mengangkat budaya inovasi dalam kalangan warga pendidik daripada pelbagai agensi penyedia latihan TVET selain dapat mengetengahkan produk inovasi berimpak tinggi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari ketika berucap pada majlis perasmian menegaskan bahawa PERISA’25 bukan sahaja menjadi medan persaingan, malah platform kolaborasi strategik yang menghubungkan institusi TVET dengan industri dan komuniti. Beliau juga mengiktiraf usaha para pendidik yang berjaya menghasilkan produk inovasi yang relevan dengan perkembangan teknologi serta menepati keperluan semasa.

“Sesuai dengan tema tahun ini, JPPKK mengangkat aspirasi untuk menjadikan inovasi sebagai pemangkin pembangunan masyarakat yang sejahtera, inklusif dan berdaya saing

“Inovasi adalah jambatan antara pengetahuan dan amalan, teori dan keperluan sebenar industri. Justeru, membudayakan inovasi mesti menjadi agenda utama di setiap peringkat pendidikan TVET katanya.

Penganjuran kali ini mempertandingkan lima kategori utama iaitu Teknologi dan Kejuruteraan, Teknologi Maklumat dan Sains Gunaan, Perdagangan, Hospitaliti, Seni dan Reka Bentuk, Sains Sosial, Pentadbiran dan Pengurusan serta Kategori Terbuka. Para pemenang menerima hadiah dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka.

Selain pertandingan, PERISA’25 turut menampilkan pameran inovasi yang dibuka kepada orang ramai sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat hasil ciptaan kreatif warga pendidik TVET.

Dengan sambutan yang amat menggalakkan, PERISA’25 telah membuktikan potensi besar pendidik TVET dalam mengangkat budaya inovasi di peringkat kebangsaan, seterusnya membuka ruang untuk diketengahkan ke persada antarabangsa.

Turut hadir ialah Dr. Shahiza Ahmad Zainuddin, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, JPPKK.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti