
KUCHING, 2 Sept. – Seramai 200 pelajar, pensyarah dan tetamu jemputan menghadiri Program Campus Tech Talk : MBOT Student Chapter anjuran Unit Sijil Teknologi Senibina (STS) yang bertempat di Dewan Serbaguna Kolej Komuniti Kuching (KKKG) di sini, baru-baru ini.
Menurut Timbalan Pengarah Akademik, Nurul Hidayah Yussof bahawa program seperti ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu, malah memberi inspirasi serta motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan kerjaya.
“Program ini merupakan platform penting bagi meningkatkan pengetahuan pelajar dalam bidang teknologi serta kefahaman terhadap profesionalisme melalui penglibatan MBOT Student Chapter.
“Melalui perkongsian daripada penceramah industri, pelajar didedahkan dengan cabaran serta peluang dalam dunia kerjaya teknologi masa kini,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan majlis tersebut.
“Pelaksanaan program ini diharap dapat menjadi batu loncatan kepada pelajar untuk membina keyakinan diri, menguasai ilmu baharu, serta melibatkan diri secara aktif dalam komuniti profesional teknologi pada masa hadapan.
“Waima, program Campus Tech Talk ini turut mencerminkan komitmen Kolej Komuniti Kuching dalam memperkukuh kerjasama dengan pihak industri bagi memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar, seiring dengan keperluan pembangunan tenaga kerja berkemahiran di Malaysia,” ujar Nurul lagi.
Terdahulu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Teknologi Senibina yang menjadi penggerak utama program ini, selain sokongan daripada Malaysia Board of Technologists (MBOT) dan Association of Professional Technicians and Technologists (APTT).
Hadir sama ialah Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang Mandaw, Pengerusi APTT Ir. Ts. Ahmad Zawawi Kasmin serta dua penceramah industri, Jimsley Limdan dan Ts. Muhammad Samawi Malek.