
JENDELA MADANI



Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah terus melakar kejayaan apabila dipilih sebagai destinasi lawatan penandaarasan oleh Kolej Komuniti Kuala Langat.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau aktiviti-aktiviti keusahawanan yang telah dan sedang dijalankan di POLIMAS sebagai model terbaik untuk dicontohi serta dibangunkan di Kolej Komuniti Kuala Langat.
Delegasi lawatan diketuai oleh Ketua Unit Keusahawanan Kolej Komuniti Kuala Langat, Nur Azlina Jalaluddin, bersama tiga pegawai keusahawanan iaitu Marina Mohamad Zahidi, Molin Azwa Rafie, dan Hanita Adnan.
Sesi taklimat utama telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya, yang menekankan kepentingan keusahawanan sebagai elemen teras dalam melahirkan graduan yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampu menjadi pencetus ekonomi.
SENTIASA MEMBERI FOKUS
“POLIMAS sentiasa memberi fokus kepada melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran keusahawanan,” tambah beliau.
Dengan adanya pelbagai program dan aktiviti, pelajar dilatih untuk berfikir secara kritis, inovatif serta berani mengambil peluang.
“Kami berbesar hati sekiranya inisiatif ini dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh Kolej Komuniti Kuala Langat,” katanya.
Selepas sesi taklimat, delegasi turut dibawa melawat ke kiosk-kiosk keusahawanan POLIMAS yang diuruskan oleh para pelajar.
MENGAPLIKASI ILMU KEUSAHAWANAN
Melalui lawatan ini, mereka berpeluang melihat secara langsung bagaimana pelajar POLIMAS mengaplikasikan ilmu keusahawanan dalam perniagaan sebenar termasuk aspek pengurusan, pemasaran, dan kreativiti produk.
Sementara itu, Ketua Unit Keusahawanan POLIMAS, Dr Dzulkarnain Musa menegaskan bahawa kejayaan pelajar dalam menguruskan kiosk ini
membuktikan pendekatan berasaskan praktikal mampu meningkatkan keyakinan dan daya kepimpinan pelajar.
“Kami percaya keusahawanan bukan sekadar perniagaan, tetapi suatu budaya. Dengan adanya latihan bengkel, program mentor-mentee serta sokongan industri, POLIMAS berusaha membina satu ekosistem yang membantu pelajar meneroka potensi mereka secara maksimum.
Kiosk keusahawanan ini adalah bukti nyata keberkesanan pendekatan tersebut,” ujarnya.
SEBAGAI RAKAN STRATEGIK
Pihak Kolej Komuniti Kuala Langat menyambut baik usaha POLIMAS sebagai rakan strategik dalam bidang ini.
Menurut Ketua Unit Keusahawanan Kolej Komuniti Kuala Langat, Nur Azlina Jalaluddin, perkongsian pengetahuan ini memberi inspirasi kepada pihaknya untuk mengorak langkah lebih agresif dalam memperkukuh aktiviti keusahawanan di institusi mereka.
“Kami amat berterima kasih kepada POLIMAS kerana sudi menerima kunjungan kami. Perkongsian idea, pengalaman serta kejayaan yang ditonjolkan sangat membuka mata dan memberi panduan jelas bagaimana kami boleh memperkukuhkan program keusahawanan di Kolej Komuniti Kuala Langat.
Lawatan ini pastinya menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat di masa hadapan,” jelas beliau.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi soal jawab, perkongsian pengalaman serta perbincangan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi bagi memastikan agenda keusahawanan pelajar terua diperkasa. – JM