
SUARA.TV

JITRA – Delagasi Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) telah mengadakan kunjungan dan lawatan penandaarasan ke Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam (POLIMAS), dekat sini, baru-baru ini.
Lawatan ini telah membuka ruang untuk KKKL melihat sendiri amalan aktiviti-aktiviti keusahawanan yang telah dan sedang dijalankan di POLIMAS sebagai ‘role model’ terbaik yang telah memainkan peranan penting melahirkan ramai graduan usahawan.
Delegasi lawatan diketuai oleh Ketua Unit Keusahawanan Kolej Komuniti Kuala Langat, Nur Azlina Jalaluddin, bersama tiga pegawai keusahawanan iaitu Marina Mohamad Zahidi, Molin Azwa Rafie, dan Hanita Adnan.

Sesi taklimat utama telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya, yang menekankan kepentingan keusahawanan sebagai elemen teras dalam melahirkan graduan yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampu menjadi pencetus ekonomi.
Hamizi berkata, POLIMAS sentiasa memberi fokus kepada melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran keusahawanan.
“Dengan adanya pelbagai program dan aktiviti, pelajar dilatih untuk berfikir secara kritis, inovatif serta berani mengambil peluang.
“Kami amat berbesar hati sekiranya inisiatif ini dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh Kolej Komuniti Kuala Langat,” katanya.
Pada masa yang sama, Ketua Unit Keusahawanan POLIMAS, Dr Dzulkarnain Musa menegaskan bahawa kejayaan pelajar dalam menguruskan kiosk ini membuktikan pendekatan berasaskan praktikal mampu meningkatkan keyakinan dan daya kepimpinan pelajar.
“Kami percaya keusahawanan bukan sekadar perniagaan, tetapi suatu budaya.
“Dengan adanya latihan, bengkel, program mentor-mentee serta sokongan industri, POLIMAS berusaha membina satu ekosistem yang membantu pelajar meneroka potensi mereka secara maksimum.
“Kiosk keusahawanan di POLIMAS adalah bukti nyata keberkesanan pendekatan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Unit Keusahawanan KKKL, Nur Azlina Jalaluddin menyambut baik usaha POLIMAS sebagai rakan strategik dalam bidang ini.
Menurut beliau, perkongsian pengetahuan ini memberi inspirasi kepada pihaknya untuk mengorak langkah lebih agresif dalam memperkukuh aktiviti keusahawanan di institusi mereka.
“Kami amat berterima kasih kepada POLIMAS kerana sudi menerima kunjungan kami.
“Perkongsian idea, pengalaman serta kejayaan yang ditonjolkan sangat membuka mata dan memberi panduan jelas bagaimana kami boleh memperkukuhkan program keusahawanan di Kolej Komuniti Kuala Langat,”katanya.
Jelasnya, lawatan ini pastinya menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat di masa hadapan.
Selepas sesi taklimat, delegasi turut dibawa melawat ke kiosk-kiosk keusahawanan POLIMAS yang diuruskan oleh para pelajar.
Melalui lawatan ini, mereka berpeluang melihat secara langsung bagaimana pelajar POLIMAS mengaplikasikan ilmu keusahawanan dalam perniagaan sebenar termasuk aspek pengurusan, pemasaran, dan kreativiti produk.
Lawatan diakhiri dengan sesi soal jawab, perkongsian pengalaman serta perbincangan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi bagi memastikan agenda keusahawanan pelajar terus diperkasa.-SUARA.TV