1539 graduan POLISAS berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
22 September 2025
Akademik, BERITA

Seramai 1539 graduan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma dan diraikan dalam tiga sidang Majlis Konvokesyen POLISAS Kali Ke-46 yang diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selama dua hari bermula 20 sehingga 21 September 2025 bersempena Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Timur 2025.

Penganugerahan diploma kali ini melibatkan kohort sesi 2 2023/2024 dan kohort sesi 1 2024/2025 merangkumi Jabatan Kejuruteraan Awam seramai 367 orang, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (206 orang), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (262 orang), Jabatan Perdagangan (444) dan Jabatan Teknologi Makanan 260 orang. Jumlah keseluruhan siswazah yang dilahirkan POLISAS sejak 1976 sehingga kini adalah seramai 62078.

Majlis Konvokesyen kali ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),Dr. Shamsuri Abdullah, bagi sidang kedua yang berlangsung pada 20 September 2025 melibatkan graduan Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Teknologi Makanan.

Bagi sidang ketiga (melibatkan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal) dan keempat (Jabatan Perdagangan) yang berlangsung pada 21 September 2025 pula disempurnakan oleh Principal AJ Surveyors (M) Sdn.Bhd. merangkap CEO of Faculty POLYCC, Prof. Adj. Datuk LSr Haji Johari Wahab dan Pengarah Eksekutif Kanan, MNZWAJA PLT (Chartered Accountants) yang juga merupakan Penasihat Industri bagi program Diploma  Akauntasi POLISAS, Dato’ Haji Zulkepli Marzuki.

Majlis Konvokesyen ini turut memberi penghargaan dan penghormatan kepada graduan yang menunjukkan dedikasi dan iltizam seperti Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Politeknik dan Jabatan, Anugerah Projek Terbaik serta Anugerah Pengarah Politeknik.

Majlis Konvokesyen POLISAS Ke-46 menobatkan Wan Muhammad Haikal Wan Kamri (Diploma Kejuruteraan Awam) dan Puteri Nur Ilyana Hasnul Hadi (Diploma Teknologi Makanan Pengurusan Halal) sebagai penerima Anugerah Pengarah Politeknik, masing-masing berjaya menamatkan pengajian mereka dengan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.93 dan 3.77.

Lebih membanggakan, Wan Muhammad Haikal juga merupakan penerima Anugerah Utama Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Timur 2025 iaitu Anugerah Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti.

Anugerah Khas Industri juga diberikan pada tahun ini iaitu sumbangan daripada pihak industri sebagai pengiktirafan kecemerlangan penuntut dalam bidang masing-masing dengan jumlah tajaan keseluruhan bernilai RM 45,600.00 dan juga tajaan biasiswa pendidikan PKT Excellence Award daripada PKT Logistics Groups Sdn. Bhd. dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 320,000 iaitu RM 80,000 setiap seorang yang melibatkan empat graduan cemerlang POLISAS serta sumbangan daripada Persatuan Alumni POLISAS berjumlah RM 23,000.00 dalam menjayakan dan melancarkan lagi majlis konvokesyen ini.

Sebagai salah sebuah Institusi Pendidikan yang memacu bidang teknikal dan vokasional, diharapkan penganugerahan yang diberi ini akan menjadi pemangkin kepada graduan untuk lebih cemerlang dalam menggilap potensi diri  agar mampu bersaing di peringkat global yang serba mencabar.

Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Timur 2025, yang julung-julung kali diadakan bermula pada 20 sehingga 26 September 2025; menghimpunkan para graduan daripada seluruh Politeknik dan Kolej Komuniti Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Perasmian Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Timur 2025 telah berlangsung pada 20 September 2025 dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim. Beliau turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan bagi para graduan seluruh POLYCC  Zon Timur bagi sidang pertama.

Bersempena dengan Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Timur 2025 ini juga turut diadakan Fiesta Konvokesyen POLYCC Zon Timur yang menjadi platform kepada pelajar dan alumni POLYCC Zon Timur untuk mendalami dunia perniagaan secara praktikal melalui penyertaan dalam karnival jualan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti