
JENDELAMADANI




Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) muncul sebagai Pemenang Anugerah Nyanyian Terbaik dan Naib Juara Keseluruhan Pertandingan Kesenian Mek Mulung sempena Program Jalinan Warisan Kebangsaan & UNESCO (JIWAKU) 2025 di Dewan Seri Mas, POLIMAS baru-baru ini.
Kenyataan media POLIMAS memaklumkan kemenangan berganda ini menjadi bukti komitmen dan semangat tinggi pasukan pelajar POLIMAS dalam mempertahankan warisan seni budaya sambil menunjukkan bakat luar biasa dalam nyanyian, lakonan dan tarian tradisional.
Watak Puteri oleh Nursyauqina Adawiyah Ahmad Yunus pula menjadi penyumbang utama kepada kejayaan kategori Nyanyian Terbaik.
“Saya sangat bersyukur dan terharu. Ini bukan sekadar tentang menang, tetapi tentang menyampaikan jiwa seni Mek Mulung kepada semua yang menonton,” katanya.
SEBAGAI KETUA KUMPULAN
Sementara itu, Dayana Hamlee Erwan, yang memikul tanggungjawab sebagai ketua kumpulan, memainkan peranan penting dalam memastikan keseragaman persembahan.
“Mengurus persembahan berkumpulan bukan mudah, lebih-lebih lagi bila melibatkan tarian tradisional yang punya struktur tersendiri,” katanya.
Pertandingan ini merupakan antara acara utama dalam JIWAKU 2025, yang turut disertai 11 politeknik dari seluruh negara yang melibatkan lebih 100 peserta.
Menurut Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, kejayaan ini mencerminkan keseimbangan pendidikan teknikal dan pembangunan sahsiah pelajar POLIMAS.
DALAM BIDANG AKADEMIK
“Kami di POLIMAS berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan pelajar kami bukan sahaja berkemahiran dalam bidang akademik dan teknikal, tetapi juga mampu menjulang warisan budaya negara dengan penuh bermaruah.” katanya.
Pengarah Program Jalinan Warisan Kebangsaan & UNESCO (JIWAKU) 2025, Noor Hazalina Abdullah, menyifatkan JIWAKU sebagai medan terbaik untuk memperkasa identiti anak muda melalui penghayatan seni dan budaya.
“POLIMAS bukan sahaja berjaya mengendalikan program ini dengan cemerlang sebagai tuan rumah, malah menjadi contoh terbaik kepada institusi pendidikan tinggi lain dalam usaha mendidik pelajar melalui pendekatan berasaskan budaya dan warisan,” ujarnya.
Program JIWAKU 2025 ini turut menganjurkan Pertandingan Vlog Warna-Warni Kedah, Eksplorasi Jelapang Padi, Bengkel Budaya dan Warisan dan Warisan Hidup, Generasi Celik Budaya. – JM