
SUARA.TV

JITRA – Langkah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mengangkat martabat seni warisan tradisi, seni serta budaya negara ternyata membuahkan hasil apabila diumumkan penerima Anugerah Nyanyian Terbaik dan naib juara keseluruhan dalam Pertandingan Kesenian Mek Mulung sempena Program Jalinan Warisan Kebangsaan & UNESCO (JIWAKU) 2025 di Dewan Seri Mas, POLIMAS, dekat sini baru-baru ini.
Kemenangan berganda ini menjadi bukti komitmen dan semangat tinggi pasukan pelajar POLIMAS dalam mempertahankan warisan seni budaya sambil menunjukkan bakat luar biasa dalam nyanyian, lakonan dan tarian tradisional.
Persembahan Bertenaga dan Penuh Jiwa
Persembahan kumpulan POLIMAS telah mencuri perhatian juri dan penonton menerusi gabungan nyanyian penuh emosi, penghayatan watak yang mendalam serta gerak tari yang harmoni dengan alunan muzik tradisional.
Keaslian dan keutuhan nilai seni Mek Mulung turut dipelihara sepenuhnya, menjadikan persembahan mereka tampil memukau dan berjiwa warisan.
Nursyauqina Adawiyah Ahmad Yunus yang membawa watak Puteri tampil menyerlah menjadi tumpuan utama persembahan dan penyumbang utama kepada kejayaan kategori Nyanyian Terbaik.
“Saya rasa sangat bersyukur dan terharu. Ini bukan sekadar tentang menang, tetapi tentang menyampaikan jiwa seni Mek Mulung kepada semua yang menonton.
“Kami berlatih siang dan malam demi memastikan setiap bait lagu dan gerak tari membawa maksud sebenar warisan ini,” kata Nursyauqina selepas majlis penyampaian hadiah.
Sementara itu, Dayana Hamlee Erwan, yang memikul tanggungjawab sebagai ketua kumpulan, memainkan peranan penting dalam memastikan keseragaman persembahan.
“Mengurus persembahan berkumpulan bukan mudah, lebih-lebih lagi bila melibatkan tarian tradisional yang punya struktur tersendiri. Tapi semangat berpasukan dan cinta kami terhadap seni menjadikan semuanya berbaloi. Saya bangga dengan semua ahli kumpulan,” katanya penuh semangat.
Warisan Mek Mulung Diangkat ke Pentas Nasional
Mek Mulung merupakan seni persembahan tradisional unik dari Kedah yang menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik. Kini, seni ini telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera sejak Disember 2023.
Dalam konteks pertandingan, setiap persembahan dilakukan secara berkumpulan, menampilkan watak utama seperti raja, puteri, bomoh, dayang dan antagonis kesemuanya dengan dialog serta nyanyian dalam dialek utara yang asli.
Pertandingan ini merupakan antara acara utama dalam JIWAKU 2025, disertai lebih 100 peserta dari 11 politeknik dari seluruh negara antaranya, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA); Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS); Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS); dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS).
POLIMAS Tampil Sebagai Tuan Rumah Cemerlang
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman berkata kejayaan ini mencerminkan keseimbangan pendidikan teknikal dan pembangunan sahsiah pelajar POLIMAS.
“Kami di POLIMAS berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan pelajar kami bukan sahaja berkemahiran dalam bidang akademik dan teknikal, malah mampu menjulang warisan budaya negara dengan penuh bermaruah.” katanya.
JIWAKU Platform Pembangunan Jati Diri dan Nasionalisme Budaya
Pada masa yang sama, Pengarah Program JIWAKU 2025, Noor Hazalina Abdullah, menyifatkan JIWAKU sebagai medan terbaik untuk memperkasa identiti anak muda melalui penghayatan seni dan budaya.
Katanya, POLIMAS bukan sahaja berjaya mengendalikan program ini dengan cemerlang sebagai tuan rumah, malah menjadi contoh terbaik kepada institusi pendidikan tinggi lain dalam usaha mendidik pelajar melalui pendekatan berasaskan budaya dan warisan.
Program JIWAKU 2025 turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya, Pertandingan Vlog Warna-Warni Kedah yang menampilkan kreativiti pelajar dalam penghasilan kandungan digital.
Selain itu, Eksplorasi Jelapang Padi merupakan aktiviti komuniti bersama penduduk Kg. Matang Kenanga, Jerlun, serta Bengkel Budaya dan Warisan yang memperkenalkan sejarah, teknik dan nilai seni Mek Mulung secara mendalam kepada para pelajar.
Warisan Hidup, Generasi Celik Budaya
Dengan kejayaan ini, POLIMAS sekali lagi membuktikan bahawa seni bukan sekadar warisan, tetapi wadah pembentukan sahsiah dan jati diri generasi muda.
Kemenangan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan warganya malah turut mencerminkan usaha berterusan dalam memartabatkan warisan budaya negara.-SUARA.TV