POLYCC Lonjak Bakat Data Sains Melalui Data Hackathon POLYCC v2.0 Asean Challenge 2025

POLITEKNIK KUALA TERENGGANU
09 November 2025
Aktiviti Pelajar, Kolaborasi, Penyelidikan dan Inovasi

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober 2025 – Politeknik Kuala Terengganu (PKT) sekali lagi melakar kejayaan penganjuran program inovatif apabila berjaya menganjurkan Data Hackathon POLYCC v2.0 (ASEAN Challenge) bertempat di Permai Hotel Kuala Terengganu. Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan edisi pertama pada tahun lalu dan kini diperluas dengan penglibatan peserta dari institusi pendidikan tinggi di rantau ASEAN.

Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan Kompetensi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Abdul Razak Sabtu, yang dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen peserta dan semua pihak yang terlibat menjayakan pertandingan ini. Beliau berkata, Data Hackathon POLYCC v2.0 merupakan platform penting dalam melatih pelajar menguasai kemahiran analisis data, pemikiran kritikal serta keupayaan menyelesaikan masalah sebenar melalui pendekatan teknologi dan inovasi.

Sesi viva peserta di hadapan juri

“Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi satu ruang latihan berasaskan projek yang membuka minda pelajar terhadap potensi besar bidang sains data dan analitik. Ia seiring dengan matlamat TVET untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global,” ujar beliau.

Penyertaan Merentas Sempadan ASEAN

Edisi kali ini menerima sebanyak 72 penyertaan melibatkan 265 peserta daripada pelbagai institusi, termasuk politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan tinggi ASEAN seperti Politeknik Negeri Bengkalis dan Politeknik Aceh. Daripada jumlah tersebut, 15 pasukan terbaik dipilih untuk ke pusingan akhir selepas melalui saringan berdasarkan “video proposal” yang dihantar. Para peserta dibimbing oleh pakar industri dan akademik melalui bengkel “Introduction to Data Science” selama dua hari, yang memberi pendedahan tentang asas analisis data, penggunaan alat data, serta teknik penjanaan penyelesaian inovatif berasaskan set data sebenar.

Cabaran Dunia Sebenar – Industri & Agensi Terlibat

Tiga tema utama diperkenalkan dalam Data Hackathon kali ini iaitu:

  • Tourism Challenge – disokong oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu,
  • Industry Challenge – dengan kerjasama Cypark Resources Berhad, dan
  • POLYCC Challenge – hasil kolaborasi bersama Bahagian Perancangan Program & Institusi (BPPI), JPPKK.

Cabaran ini membolehkan peserta mengaplikasikan ilmu sains data bagi menyelesaikan isu sebenar industri seperti pengurusan pelancongan, tenaga boleh baharu, dan keberkesanan sistem pentadbiran pendidikan.

Kolaborasi Industri dan Sokongan Penaja

Program ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi dan syarikat seperti TD1303, Cypark Resources Berhad, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Bank Simpanan Nasional Negeri Terengganu, serta Grid Energy Sdn. Bhd.

Barisan juri menilai pembentangan daripada peserta

Ketua juri Data Hackathon POLYCC v2.0 Asean Challenge, Dr. Mohamad Shukor Talib, turut menekankan kualiti idea dan keupayaan analisis data para peserta semakin memberangsangkan berbanding edisi sebelumnya.

Menurut Pengarah Politeknik Kuala Terengganu, Ts. Nadzri Che Kamis, penganjuran hackathon ini adalah antara usaha berterusan PKT dan POLYCC dalam mengukuhkan peranan politeknik sebagai hab TVET berimpak tinggi serta memperkasakan agenda digitalisasi pendidikan negara.

“Kami mahu Data Hackathon POLYCC menjadi acara tahunan yang berprestij, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat ASEAN. Ia membuktikan bahawa pelajar TVET juga mampu menjadi pemangkin inovasi digital dan ekonomi berasaskan data,” tambah beliau. Menutup ucapannya, beliau menyeru agar program ini diteruskan dengan versi seterusnya dengan skop cabaran lebih besar serta kolaborasi strategik bersama rakan industri baharu.

Politeknik Kuala Terengganu Juara Data Hackathon POLYCC v2.0 Asean Challenge Bagi Kategori POLYCC Challenge

Majlis penutupan diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang utama, penghargaan kepada juri, mentor serta rakan kolaborasi. Data Hackathon POLYCC v2.0 terus menjadi bukti komitmen politeknik dalam memupuk budaya inovasi dan daya saing global dalam kalangan pelajar TVET.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti