
25 Oktober 2025, Songkhla – Satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh hubungan pendidikan antarabangsa telah dilakar apabila Kolej Komuniti Negeri Johor menandatangani Letter of Intent (LOI) dengan Santiwit Songkhla Technological College, Thailand.
Majlis tandatangan Letter of Intent (LOI) ini telah disempurnakan oleh En. Zahid bin Daim, Pengarah Kolej Komuniti Segamat merangkap Pengerusi Kolej Komuniti Negeri Johor dan Dr. Mansor Mateh, Santiwit Songkhla Technological College.
Dalam ucapan alu-aluan, pihak tuan rumah menyampaikan penghargaan penuh mesra kepada delegasi dari Kolej Komuniti Segamat, sambil menzahirkan rasa bangga atas jalinan kerjasama yang bakal memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal.
Dr. Mansor Mateh turut menyatakan bahawa perjanjian ini menandakan permulaan kepada perkongsian ilmu, pertukaran kepakaran dan peluang pembelajaran rentas negara, sekaligus membuka ruang untuk pelajar dan pensyarah kedua-dua institusi meneroka potensi baharu dalam bidang TVET.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif pengantarabangsaan Kolej Komuniti Negeri Johor, yang bertujuan membina jaringan strategik dengan institusi pendidikan luar negara, khususnya di rantau ASEAN.
Kolej Komuniti Segamat komited untuk terus memperluas kerjasama seumpama ini sebagai usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan memperkasa kebolehpasaran graduan di peringkat global.
Turut hadir dan menyertai majlis tandatangan ialah Pengarah Kolej Komuniti Segamat 2 dan wakil Kolej Komuniti Ledang.



