Dua Pelajar Politeknik Mukah Terpilih Sertai Misi Sukarelawan Siswa YSS—ASEAN

POLITEKNIK MUKAH
17 November 2025
KERATAN AKHBAR, Suara Sarawak

MUKAH: Dua pelajar Politeknik Mukah (PMU) mencatat kejayaan membanggakan apabila terpilih menyertai Misi Sukarelawan Siswa YSS—ASEAN di Telang Usan, Miri (Long Bedian) dan Santubong, Kuching bermula 7 hingga 23 November ini.

Pelajar tersebut ialah Syauqi Imani Ibrahim dan Andrea Elina Christina Dior.

Menurut PMU, pemilihan mereka dianggap sebagai pencapaian istimewa kerana proses saringan yang ketat dan melibatkan temu duga bersama-sama calon dari seluruh Malaysia serta negara ASEAN.

“Kejayaan dua pelajar ini mencerminkan semangat tinggi, keyakinan diri dan kesungguhan mereka untuk berbakti kepada masyarakat melalui program sukarelawan berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyentuh program tersebut, ia merupakan anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Sukarelawan Siswa (YSS) yang bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan merentas sempadan.

Selain itu, ia juga memperkukuh hubungan pelajar serantau serta memberi impak positif kepada komuniti luar bandar menerusi aktiviti pendidikan, kesihatan dan pembangunan masyarakat.

Dalam misi tersebut, para sukarelawan bakal berdepan pelbagai cabaran termasuk menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, kekangan kemudahan asas dan keperluan mengimbangi tanggungjawab akademik dengan tugasan lapangan.

Justeru, PMU turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan itu dan berharap ia menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus aktif dalam kerja kemasyarakatan serta berani melangkah keluar dari zon selesa.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti