
Jendela Madani 9 Feb 2026





Seramai 50 orang pensyarah dari empat buah Politeknik di negara ini bergabung secara sukarela bagi menjayakan Program Jelajah Ilmu STEM-TVET Antarabangsa Politeknik di Yayasan Madrasah Darul Ma’aref, Satun, Thailand baru-baru ini.
Kenyataan media Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) memaklumkan bahawa program ini telah melibatkan pensyarah dari POLIMAS, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan juga Politeknik Ungku Omar (PUO).
Pelaksanaan program ini menunjukkan komitmen di kalangan warga pendidik politeknik untuk menyumbang kepakaran mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk dimanfaatkan kepada pelajar di peringkat antarabangsa.
Di sepanjang program ini ia memberi fokus kepada empat bidang utama, iaitu Matematik, Sains, Elektrik dan Robotik, dengan pendekatan pengajaran berasaskan amali dan interaktif.
DIJALANKAN SECARA BERASINGAN
Aktiviti pembelajaran dijalankan secara berasingan antara pelajar lelaki dan perempuan bagi memastikan penglibatan yang lebih efektif serta suasana pembelajaran yang kondusif.
Pengarah Program, Syukrul Hassani Jamaluddin berkata pendekatan pembelajaran berasaskan amali yang diterapkan sepanjang program berjaya menarik minat pelajar dan meningkatkan kefahaman mereka terhadap bidang STEM-TVET.
“Pendekatan pengajaran secara praktikal dan interaktif ini memberi pendedahan awal yang sangat berkesan kepada pelajar, sekali gus menyemai minat mereka terhadap bidang sains dan teknikal,” katanya.
TURUT BERKONGSI PENGALAMAN
Pelajar yang terlibat turut berkongsi pengalaman sepanjang program iaitu
Salwa Panglema menyifatkan program ini sangat menyeronokkan dan memberi peluang kepada mereka mempelajari sains dan robotik secara praktikal.
“Saya rasa lebih yakin untuk meneroka bidang STEM selepas ini,” katanya.
Sainab Robbana pula menjelaskan dia serta rakan berpeluang belajar banyak perkara baru dan melihat sendiri bagaimana ilmu TVET boleh diaplikasi dalam kehidupan sebenar.
“Program ini telah berjaya membuka minda saya tentang peluang kerjaya dalam bidang teknikal,” tambah Sainab.
DISIFATKAN AMAT BERMAKNA
Sementara itu, Mudir Yayasan Madrasah Darul Ma’aref Satun, Thailand, Ustaz Dr Ahmad Mohamad Zaki Napalen merakamkan penghargaan atas pelaksanaan program berkenaan yang disifatkan amat bermakna kepada pihak sekolah dan pelajarnya.
“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan delegasi politeknik dari Malaysia. Program ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan pelajar
kami dalam bidang STEM-TVET, malah membuka ruang kerjasama pendidikan rentas negara yang sangat bernilai serta memberi inspirasi kepada pelajar untuk merancang masa depan mereka,” katanya.
Selain pengisian akademik, delegasi Jelajah Ilmu STEM-TVET Antarabangsa turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pihak pengurusan sekolah bagi membantu kebajikan serta pengurusan 90 orang anak yatim yang berada di bawah jagaan institusi tersebut. – JM