
MUADZAM SHAH, 7 Mac 2026 – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Muadzam Shah (PMS) bagi meninjau keadaan fasiliti serta perkembangan projek pembangunan di institusi berkenaan, semalam.
Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan gambaran sebenar berkaitan keperluan penyelenggaraan dan status projek pembangunan yang telah diluluskan di kampus itu bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan selamat kepada warga PMS.
Dalam sesi taklimat bersama pengurusan politeknik, beliau dimaklumkan bahawa dua projek pembangunan telah diluluskan sebelum ini, dengan satu daripadanya telah siap dilaksanakan manakala satu lagi masih berada di peringkat awal pelaksanaan.
Tinjauan di sekitar kampus turut mendapati beberapa kemudahan memerlukan kerja pembaikan dan naik taraf, termasuk melibatkan struktur bumbung serta sistem mekanikal dan elektrik yang memerlukan perhatian segera bagi memastikan operasi institusi berjalan lancar.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu diperkukuh bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan tanpa menjejaskan operasi harian kampus.
“Pendekatan pelaksanaan secara berfasa boleh dipertimbangkan supaya kerja baik pulih dapat dilaksanakan secara terancang sambil memastikan keselamatan warga kampus sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, PMS turut menerima kelulusan enam projek pembaikan di bawah inisiatif Projek Usang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM509,490 bagi meningkatkan keadaan fasiliti sedia ada.
YBM KPT turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem kumbahan serta menaik taraf fasiliti tandas di bangunan asrama PMS.
Beliau berkata, kerajaan melalui KPT komited memastikan institusi pendidikan tinggi di bawah kementerian itu dilengkapi kemudahan yang selamat, moden dan memenuhi keperluan semasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Turut hadir dalam lawatan rasmi berkenaan ialah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah dan Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi, Encik A. Azman bin Arshad.



