
MUADZAM SHAH, 6 Mac 2026 – Politeknik Muadzam Shah (PMS) menerima kunjungan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), Dr Shamsuri Abdullah, sempena lawatan rasmi Menteri Pendidikan Tinggi ke institusi berkenaan.
Lawatan tersebut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara kepimpinan tertinggi JPPKK dan warga institusi, selain meninjau perkembangan semasa serta keperluan pembangunan di Politeknik Muadzam Shah.
Kunjungan beliau dimulakan dengan sesi bersama warga PMS sempena Perhimpunan Bulanan, yang menghimpunkan para pensyarah serta kakitangan institusi. Dalam sesi tersebut, beliau menyampaikan amanat kepimpinan serta berkongsi aspirasi dalam memperkukuh kecemerlangan institusi di bawah JPPKK, di samping menekankan kepentingan memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan keperluan pembangunan negara.
Bagi warga PMS, kehadiran beliau ke kampus ini amat bermakna memandangkan Dr. Shamsuri pernah menerajui Politeknik Muadzam Shah sebagai Pengarah ke-6. Kepulangan beliau kali ini sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti boleh diibaratkan bak ‘sireh pulang ke gagang’, sekali gus mengimbau kembali kenangan kepimpinan serta sumbangan beliau ketika memimpin institusi tersebut suatu ketika dahulu.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut meluangkan masa menyantuni rakan-rakan lama dalam kalangan warga PMS yang pernah berkhidmat bersama beliau sebelum ini, sekali gus mengeratkan kembali hubungan yang telah terjalin sejak beliau menerajui institusi berkenaan.
Sepanjang lawatan ini, beliau turut mengadakan pertemuan bersama Ahli Mesyuarat Pengurusan (AMP) PMS serta menghadiri Sesi Libat Urus bersama Pengarah-pengarah POLYCC Zon Pahang bagi membincangkan hala tuju serta penyelarasan agenda pembangunan politeknik dan kolej komuniti di peringkat zon.
Lawatan ini turut diserikan dengan kehadiran YB Menteri Pendidikan Tinggi yang berkesempatan meninjau beberapa kemudahan serta fasiliti di kampus di samping berinteraksi secara ringkas bersama warga institusi.
Sebagai penutup, Dr. Shamsuri turut meluangkan masa menghadiri Majlis Iftar di Pusat Islam Politeknik Muadzam Shah bersama Ahli Mesyuarat Pengurusan, Pengarah-pengarah POLYCC Zon Pahang, warga kerja serta para pelajar dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
Seluruh warga Politeknik Muadzam Shah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian beliau meluangkan masa mengadakan lawatan ke institusi ini, sekali gus menyuntik semangat kepada warga PMS untuk terus memperkukuh kecemerlangan pendidikan TVET negara.
