
SURABAYA, 1 Januari 2026 – Politeknik Ungku Omar (PUO) telah menyertai Program Jalinan TVET Nusantara, satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan ‘Education and Conservation of Mangrove Ecosystem’ di Ekowisata Mangrove Wonorejo, dekat sini baru-baru ini.
PUO dalam kenyataan berkata program ini dilaksanakan oleh pelajar Bachelor of Marine Engineering Technology (BMT) PUO dengan kerjasama Fakultas Vokasi, Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) yang melibatkan 20 pelajar dan 14 pensyarah dari kedua-dua institusi.
“Aktiviti utama termasuk penanaman pokok bakau sebagai usaha pemuliharaan ekosistem pesisir, sesi pendidikan berkaitan kelestarian alam sekitar, serta pertukaran budaya dan ilmu antara dua institusi, ”katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh berkata usaha murni ini sangat membanggakan kerana ia membuktikan bahawa PUO bukan sahaja komited dalam memberikan khidmat kepada komuniti tempatan, tetapi juga aktif meluaskan impak sosial dan pendidikan ke peringkat serantau.
Menurut beliau, inisiatif ini mencerminkan nilai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menyeluruh, berasaskan ilmu, lestari, dan menjalin hubungan strategik.
Katanya, program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan dua hala antara Malaysia dan Indonesia melalui platform TVET, malah menjadi wadah menyemai kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
“PUO mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Semoga inisiatif ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar, ”katanya lagi. – SUARA.TV

Sumber : Suara.TV , 1 Januari 2026