Program singgah sahur menyantuni komuniti Permatang Pauh

KOLEJ KOMUNITI SEBERANG JAYA
12 March 2026
Aktiviti Pelajar, Uncategorized

PERMATANG PAUH,12 MAC 2026- Dalam usaha menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan serta menyantuni komuniti setempat, Kolej Komuniti Seberang Jaya telah menganjurkan Program “Singgah Sahur” sempena Ihya’ Ramadan 1447H.

Program yang bermula seawal jam 12.00 tengah malam itu melibatkan aktiviti penyediaan dan pengagihan makanan sahur kepada lebih 100 orang penerima, termasuk pelajar kolej serta komuniti setempat di sekitar Permatang Pauh. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban golongan yang memerlukan di samping memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga kolej dan masyarakat.

Melalui program ini, para staf dan pelajar berganding bahu menyediakan serta mengagihkan makanan sahur kepada penerima yang dikenal pasti. Aktiviti tersebut bukan sahaja memberi peluang untuk berkongsi rezeki, malah turut memperkukuh hubungan silaturahim antara warga kolej dan komuniti setempat.

Menurut kenyataan pihak pengurusan kolej, Ramadan merupakan waktu terbaik untuk menyemai nilai keprihatinan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Kami berharap inisiatif ini dapat memberikan sedikit kegembiraan serta sokongan moral kepada para penerima, khususnya pelajar yang berjauhan daripada keluarga agar mereka dapat merasai kemesraan dan kebersamaan bersama warga Kolej Komuniti Seberang Jaya sepanjang Ramadan,” katanya.

Program Ihya’ Ramadan ini merupakan antara aktiviti tahunan Kolej Komuniti Seberang Jaya dalam usaha melahirkan mahasiswa yang peka, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti