KKKG dan rakan strategik santuni 200 anak yatim dan asnaf

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
12 March 2026
Kolaborasi

KUCHING, 12 Mac 2026 Kolej Komuniti Kuching terus memperkukuh ukhuwah bersama-sama masyarakat menerusi penganjuran Program Iftar Jamaie 2026 yang menyantuni seramai 200 anak yatim dan golongan asnaf di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, di sini semalam.

Program tahunan yang diadakan bersempena bulan Ramadan ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Kolej Komuniti Kuching (KKKG),  Kumpulan K30, Persatuan Golf Amatur Bumiputra Sarawak (PGABS), Liansin Trading Sdn. Bhd. dan Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma.

Penyampaian sumbangan duit raya tersebut disempurnakan oleh Pengasas Kumpulan K30, Haji Zabidi Haji Shabaneh bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Penerima sumbangan terdiri daripada 63 penerima dari Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM), 44 penerima dari Kolej Komuniti Kuching, 38 keluarga asnaf dari Taman Sukma dan 22 keluarga asnaf dari Petra Jaya.

Turut menerima sumbangan ialah 21 penerima daripada Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Kuching serta 12 penerima dari Pusat Kebajikan Baitulrahmah.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat sunat tarawih bersama penduduk tempatan.

Pada sebelah petang, Haji Zabidi turut meluangkan masa mengagih sebanyak 600 bekas bubur lambuk kepada masyarakat sekitar Taman Sukma sebagai simbolik perkongsian rezeki.

Sementara itu, Pengarah KKKG, Sumbang Mandaw berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar menghidupkan tradisi Ramadan, malah menjadi wadah penting untuk menerapkan nilai kesukarelawanan dalam diri pelajar menerusi aktiviti kebajikan.

“Selain menyantuni golongan yang memerlukan, ia juga menjadi platform terbaik dalam memupuk semangat kerjasama dan budaya gotong-royong antara warga institusi dengan masyarakat setempat.

“Pihak kolej berharap agar perpaduan dan jalinan kerjasama antara institusi pendidikan, rakan strategik dan komuniti ini akan terus diperkukuh pada masa hadapan demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Program turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pengurusan KKKG, Puan Elfy Fariza Sharkawi; Timbalan Pengarah Akademik, Nurul Hidayah Yussof; Pegawai Perhubungan Industri dan Alumni, Ts. Esuryati Kamarudin dan Pengerusi Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma, Tuan Haji Said Gapor.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti