
Program Kemuncak Ihya’ Ramadan 2026 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kesah berlangsung dengan penuh harmoni di Dewan Sri Mas, semalam.
Program ini menjadi acara penutup kepada pelbagai aktiviti keagamaan yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan bagi menyemarakkan penghayatan ibadah dalam kalangan warga politeknik.
Majlis yang dihadiri oleh pensyarah, kakitangan serta warga sokongan POLIMAS itu bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan melalui pelbagai aktiviti kerohanian.
Antara pengisian utama program ialah Majlis Khatam al-Quran Perdana yang melibatkan penyertaan warga POLIMAS yang telah mengikuti program tadarus al-Quran sepanjang Ramadan.
KAKITANGAN SOKONGAN KAMPUS
Selain itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian Sumbangan Bakul Syawal kepada kakitangan sokongan kampus seperti pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan.
Salah seorang penerima, Sobri Abd Ghani meluahkan rasa syukur atas keprihatinan pihak pengurusan politeknik.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kasih pihak pengurusan POLIMAS atas sumbangan ini,” kata Sobri.
Seorang lagi penerima, Rosnani Husin, turut menyifatkan sumbangan tersebut sebagai tanda penghargaan kepada golongan pekerja sokongan yang sering berada di belakang tabir.
TIDAK MELUPAKAN KAMI
“Sumbangan ini menunjukkan bahawa pihak POLIMAS tidak melupakan kami yang bertugas menjaga kebersihan kampus setiap hari,” katanya.
Pengawal keselamatan Muhamad Qadri Badrul Hisham menyifatkan sumbangan tersebut memberi makna yang cukup besar menjelang Aidilfitri.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak pengurusan POLIMAS atas sumbangan bakul Syawal ini,” tambahnya.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman.
MEMBACA DAN MEMAHAMI
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru warga POLIMAS agar memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan membaca dan memahami al-Quran kerana kitab suci itu merupakan panduan utama dalam kehidupan seorang Muslim.
Beliau turut mengingatkan agar setiap individu sentiasa berbuat baik sesama manusia serta memelihara hubungan silaturahim dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, Pengurus Program merangkap Pengerusi Pusat Islam POLIMAS, Md Hilmy Sulaiman, berkata penganjuran program ini bertujuan memperkukuh nilai spiritual dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus.
“Program Ihya’ Ramadan ini bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi merupakan usaha berterusan untuk menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan warga POLIMAS. – JM
Sumber : Jendela Madani, 12 Mac 2026
