
BELAGA – Program Jalinan Kasih Komuniti Uma Daro anjuran Politeknik Mukah dilihat sebagai satu inisiatif positif dalam mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan berkata, program seumpama ini memberi peluang kepada pelajar untuk turun padang, mengenali kehidupan masyarakat luar bandar serta menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Menurutnya, penganjuran program tersebut membuka ruang kepada pelajar untuk memahami realiti kehidupan masyarakat setempat, di samping membolehkan komuniti turut menerima manfaat daripada pelbagai aktiviti yang dilaksanakan bersama.
Beliau turut berharap agar kerjasama antara Politeknik Mukah dan komuniti setempat dapat terus diperkukuh melalui penganjuran lebih banyak program pada masa hadapan.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berlangsung dari 13 hingga 15 Mac itu dianjurkan oleh pelajar Semester 5 Diploma Sains Kesetiausahaan (DSK5A), Jabatan Perdagangan Politeknik Mukah dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Daro di Sungai Asap, Belaga.
Seramai 23 pelajar bersama empat pensyarah dari Jabatan Perdagangan terlibat secara langsung dalam menjayakan program berkenaan yang turut disertai oleh penduduk setempat.
Sepanjang tiga hari penganjuran program, pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah diadakan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan kampung, sesi Town Hall bagi berkongsi pandangan mengenai pembangunan dan pendidikan, majlis Sungkei Ramadan serta Malam Kebudayaan yang menampilkan keunikan budaya masyarakat tempatan.
Ketua Jabatan Perdagangan Politeknik Mukah, Adi Jaya Adam berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam kursus Event Organization selain mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.
Program berkenaan turut mendapat sokongan daripada barisan kepimpinan komuniti termasuk Pemanca Umek Jeno, Maran Uma Tuan Huvang Liah, JKKK Uma Daro, Biro Wanita serta seluruh penduduk Uma Daro yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Sumber : BBcats, 16 Mac 2026
Sumber gambar : Politeknik Mukah (PMU)

