
BELAGA, 16 Mac 2026: Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan menyifatkan Program Jalinan Kasih Komuniti Uma Daro anjuran Politeknik Mukah Sarawak (PMU) sebagai langkah positif dalam merapatkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat.
Menurut beliau, program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati masyarakat sambil menyumbang kepada pembangunan komuniti luar bandar.
“Program seperti ini amat baik kerana ia membuka ruang kepada pelajar untuk turun padang dan memahami kehidupan masyarakat setempat. Pada masa yang sama, komuniti juga mendapat manfaat melalui aktiviti yang dilaksanakan bersama,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Michael turut berharap agar hubungan antara PMU dan komuniti setempat akan terus diperkukuh melalui lebih banyak program pada masa akan datang.
“Saya berharap PMU akan sentiasa meneruskan usaha menjalin hubungan erat dengan komuniti seperti ini. Program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat perlu diteruskan kerana ia memberi impak positif kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perdagangan PMU, Adi Jaya Adam berkata, program tersebut dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kursus Pengurusan Acara dan membina kemahiran kepimpinan, komunikasi serta kerja berpasukan.
Menurutnya, pengalaman turun padang memberi manfaat besar kepada pelajar dalam memahami kehidupan masyarakat setempat secara langsung.
Program tersebut telah dianjurkan oleh pelajar daripada Program Diploma Sains Kesetiausahaan (DSK5A), yang berlangsung di Sungai Asap, di sini, pada 13 hingga 15 Mac.
Program yang dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Daro itu melibatkan 23 orang pelajar bersama empat pensyarah Jabatan Perdagangan.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program, termasuk gotong-royong membersihkan kawasan kampung, sesi Town Hall untuk berkongsi pandangan mengenai pembangunan dan pendidikan serta Malam Kebudayaan yang menampilkan keunikan budaya masyarakat setempat.
Selain itu, pelajar turut mengadakan Sungkei Ramadan bersama komuniti setempat, termasuk pelaksanaan aktiviti penanaman pokok sebagai simbol kenangan dan jalinan persahabatan antara PMU dan komuniti Uma Daro.
Program berkenaan juga mendapat sokongan penuh daripada kepimpinan komuniti termasuk Pemanca Umek Jeno, Maran Uma Tuan Huvang serta Biro Wanita dan seluruh komuniti Uma Daro yang bersama-sama menjayakan aktiviti tersebut. — TVS
Sumber : TVS, 16 Mac 2026
Sumber gambar : Politeknik Mukah (PMU)

