Politeknik Tawau Sabah Anjur Program Holistik Ramadan Beramal dan Berilmu 1447H dengan Kerjasama IPD Tawau

POLITEKNIK TAWAU SABAH
17 March 2026
Kolaborasi

TAWAU, 13 Mac 2026 – Politeknik Tawau Sabah (PTS) meneruskan penganjuran program Ramadan Beramal dan Berilmu 1447H dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD Tawau) bagi tahun 2026 melibatkan tiga pengisian utama iaitu Qiamullail Perdana, PTS Singgah Sahur dan Majlis Khatam al-Quran sebagai kemucak program.

Majlis Khatam al-Quran melibatkan seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar PTS yang telah memulakan sesi tadarus al-Quran sejak 1 Mac 2026 yang lepas telah berjaya dilaksanakan. Objektif utama siri penganjuran program ini adalah bagi memupuk sikap kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan warga institusi serta komuniti. Bagi mencapai hasrat tersebut, program ini dikelola oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman (JPKK) dengan bimbingan penasihat masing-masing.

Pengarah Politeknik Tawau Sabah, Encik Tahir bin Leemat berkata, program kerjasama berimpak tinggi ini perlu diteruskan pada masa-masa akan datang terutama sekali sebagai usaha pengekalan ekosistem pendidikan tinggi yang melibatkan institusi, industri, pelajar dan komuniti. Beliau menekankan penghayatan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang telah diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 20 Januari 2026 serta menyuntik inspirasi agar seluruh warga PTS terus memperkasa budaya kerja berprestasi tinggi melalui 13 Iltizam JPPKK oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai panduan strategik memacu kecemerlangan institusi.

Menurut Dr. Alfian Thomas, penganjuran program seperti ini secara berterusan dapat membantu pelajar mengenalpasti kelainan mahupun nilai tambah yang boleh diterapkan pada program-program akan datang. Sebagai contoh, tahun 2025, program PTS Singgah Sahur dianjurkan dengan menyerahkan juadah sahur kepada anggota bertugas dari agensi-agensi kesihatan dan keselamatan di daerah Tawau seperti Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Besar Tawau, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan KD Sri Tawau.

“Berbeza dengan tahun ini, kami berjaya melaksanakan Qiamullail Perdana kelolaan Masjid As Salam, IPD Tawau, di ikuti dengan PTS Singgah Sahur kelolaan PTS bertempat di Masjid As Salam, IPD Tawau. Kedua-dua program ini dilaksanakan serentak yang melibatkan warga PTS dan IPD Tawau sendiri dan diakhiri dengan Majlis Khatam al-Quran dan Tazkirah Ramadan bertempat di PTS,” menurutnya yang juga merupakan Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar.

JPP dan JPKK PTS turut menyampaikan sumbangan atas inisiatif mereka sendiri bagi kegunaan dan keceriaan Masjid As Salam, manakala PTS menyerahkan 50 naskah Yasin dan buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam kepada ASP Ghazali bin Abdul Gani, Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard merangkap Pengerusi Masjid As Salam, IPD Tawau yang turut hadir ke majlis. Menurut Exco Kerohanian (Muslim), JPP PTS 2026, Saudara Abdul Wafiq Harith, program kerohanian seperti ini bukan sahaja dapat memupuk sikap kepimpinan dalam kalangan pewakilan pelajar, tetapi juga dapat mengeratkan hubungan diantara warga institusi, agensi berkepentingan serta komuniti setempat.

“Pihak institusi sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran program-program yang dianjurkan oleh pelajar. Program-program inilah yang memberikan kami peluang untuk menerapkan ilmu yang dipelajari di dalam kelas ke penganjuran acara yang sebenar dengan bimbingan penasihat program. Sebagai contoh, selaku Exco Kerohanian (Muslim), saya sentiasa merujuk kepada Pensyarah Pendidikan Islam iaitu Ustaz Haqqul Yaqin Ahmad bagi memastikan pelaksanaan program adalah mengikut wajaran yang sepatutnya. Hubungan akrab diantara pelajar dan pensyarah di PTS juga membolehkan kami mendapatkan bimbingan serta nasihat yang diperlukan sebagai seorang pelajar”, ujarnya yang merupakan pelajar semester dua, Diploma Pengurusan Pelancongan (DUP), PTS.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti