Sikap Gelojoh Memandu Undang Bencana Di Jalan Raya

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
30 March 2026
BERITA, Harian Metro, KERATAN AKHBAR, Umum

Kadar kemalangan jalan raya sentiasa menjadi bahan bualan semasa di musim perayaan, termasuklah ketika balik berhari raya di kampung halaman. Data dan statistik kemalangan yang meragut nyawa seakan tidak asing lagi kerana apabila hari-hari terakhir di penghujung Ramadan menjelang muncul 1 Syawal kisah ngeri di jalan raya menjadi bahan paparan berita.

Dapatlah dikatakan bahawa hari-hari terakhir Ramadan menjelang hari raya Aidilfitri adalah waktu puncak di mana-mana sahaja jalan raya di seluruh pelosok negara kita. Tiada satu jalan pun yang sunyi dan lengang. Semua sesak dengan kenderaan yang menghala ke destinasi sambut raya.

Meskipun, sudah kesekian kali tragedi ngeri di jalan raya menjelang Aidilfitri berlaku, tetapi kisah penuh hiba itu tidak membuatkan pengguna jalan raya untuk mengambil sikap lebih berwaspada dan bertanggungjawab.

Usah jadikan lebuh raya, jalan raya menjadi pusara. Itu kata-kata memujuk untuk mengajak kita semua insaf diri dan bersikap lebih berhati-hati semasa memandu kenderaan untuk balik kampung. Kita sedia maklum bahawa hari hari terakhir Ramadan menjelang Syawal tiba perasaan suka ria untuk berjumpa ibu ayah dan sanak saudara di kampung sentiasa bermain dalam fikiran.

Siapa yang tidak rindukan kampung halaman sendiri, apatah lagi untuk menyambut hari lebaran ini. Pun begitu, seharusnya kita perlu mengambil kira faktor keselamatan diri, ahli keluarga dan pengguna jalan raya yang lain dengan mengambil sikap pemanduan berhemah tanpa didorong gelojoh rasa untuk sampai ke destinasi.

Seharusnya dan seperlunya kita lakukan persediaan awal dan mencongak pendekatan utamakan keselamatan sebelum kenderaan kita bergerak menuju kampung halaman. Mungkin berikut antara beberapa langkah patut buat dan perlu lakukan demi memelihara kselematan di jalan raya semasa balik kampung nanti.

1. Buat pemeriksaan awal pada kenderaan.

Usah berkira soal kos penyelenggaraan kenderaan kerana perjalanan balik kampung memerlukan kenderaan yang selamat dipandu, baik dari segi enjinnya, tayarnya dan pelbagai komponen yang lain. Berhati-hati tidak rugi. Bersedia awal tidak menyesal. Begitulah dalam aspek memastikan kenderaan sedia dipandu dalam keadaan sejahtera dan selamat.

2. Bersikap tidak menimbulkan mudarat

Sesungguhnya, ketika stereng dipegang semasa memandu kenderaan banyak mempengaruhi psikologi kita. Tambah-tambah semasa balik kampung dalam suasana jalan raya sesak dengan kenderaan. Masing-masing mahu sampai ke destinasi dengan kadar yang cepat. Tanpa sedar, sikap gelojoh semasa memandu memungkin berlakunya kemalangan. Tanpa sedar, kita sendiri mengundang bencana jalan raya yang bukan sahaja melibatkan diri dan keluarga sendiri, lebih lagi apabila turut sama menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Hindarilah sikap gelojoh di jalan raya kerana tanpa sedar derita akan menerjah.

Semasa memandu seeloknya sentiasalah ingatkan firman Allah ini yang terkandung dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan.” Ayat Allah ini jika diperhalusi dan dijadikan bahan renungan untuk panduan dalam apapun aspek kehidupan, termasuklah semasa memandu kenderaan, pastinya mampu menjadi perisai jiwa untuk berwaspada agar tidak termasuk dalam kalangan mereka sengaja mencampak diri ke arah kebinasaan.

Memandu dengan sikap gelojoh, tanpa mengira keselamatan pengguna jalan raya yang lain juga dapat dikira sebagai mereka yang sengaja mencampakkan diri ke arah kebinasaan. Lagipun, Baginda Nabi SAW juga pernah berpesan kepada kita yang sabdanya: “Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudarat dengan mudarat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

3. Mulakan perjalanan dengan doa

Sebaiknya sebelum melakukan perjalanan, hendaklah memperbaiki niat serta tujuan balik kampung untuk sambut hari raya kerana Allah SWT. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah kata beliau: “Ada seorang lelaki berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak berjalan jauh. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda: ‘Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi. Kemudian ketika orang itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya: ‘Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya.'” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pasak sekukuhnya kebergantungan harapan kepada Allah agar sepanjang perjalanan menuju kampung sentiasa dilindungi daripada mara bahaya. Kita berusaha, Allah yang mentakdirkannya. “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Maksud Surah al-Ra’d ayat 11 ini menjadi petunjuk kepada kita bahawa untuk elak derita di jalan raya semasa balik kampung perlu kepada kesedaran sikap kita sendiri. Sikap mahu utamakan keselamatan untuk elak sebarang kecelakaan di atas jalan raya. Usaha dulu, diikuti tawakal dan sikap memandu terpuji.

4. Sentiasa patuh kepada peraturan jalan raya

Antara faktor yang bukan lagi tersembunyi daripada pengetahuan umum tentang punca berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu yang tidak mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Misalnya lampu isyarat. Banyak kes kemalangan terjadi disebabkan kecuaian yang disengajakan dengan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat. Sikap mudah dan tidak berfikir soal keselamatan diri dan orang lainlah yang akhirnya membawa kepada berlaku kemalangan. Hindarilah, kerana sikap buruk tidak menguntungkan. Sikap mematuhi peraturan, lebih membawa kesejahteraan.

Sebenarnya, sikap kita semasa memandu dengan mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan oleh pihak pemerintah/kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Kerja Raya bukan untuk menyulitkan kita, sebalik setiap satu peraturan yang diwartakan itu untuk kemasllahatan awam. Ingatlah firman Allah sepertimana terakam dalam Surah Al-Nisa’ ayat ke-59 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah) kepada ulil amri dari kalangan kamu.”

Jadi, sikap pematuhan terhadap peraturan jalan raya juga bermakna kita mentaati ulil amri/pemerintah dan ini sekali gus menunjukkan yang kita taat kepada perintah Allah.

Pandulah kenderaan dengan penuh hemah dan ingatlah sesaat kita cuai, derita dan tragedi boleh terjadi.

https://www.hmetro.com.my/addin/2026/03/1336747/sikap-gelojoh-memandu-undang-bencana-di-jalan-raya

Penulis:

Encik Mohd Rizal Azman Bin Rifin

Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti