Malam Seribu Bintang 4.0 serlahkan bakat pelajar PMU, satukan seni dan kesejahteraan diri

POLITEKNIK MUKAH
06 April 2026
Aktiviti Pelajar

MUKAH, 6 April 2026 — Program Malam Seribu Bintang 4.0 yang berlangsung pada 4 dan 5 April 2026 di Politeknik Mukah (PMU) berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform mencungkil bakat seni dalam kalangan pelajar, di samping menjadi medium melepaskan tekanan akademik melalui hiburan yang sihat dan berimpak.

Dianjurkan oleh Kelab Warisan Permata Seni PMU, program ini menghimpunkan pelajar daripada pelbagai kelab dan kursus di bawah aktiviti kokurikulum berkredit. Sepanjang dua malam penganjuran, pentas dipenuhi dengan pelbagai persembahan menarik seperti nasyid, tarian tradisional, nyanyian kugiran serta kemuculan semula fusion dance yang mendapat sorakan hangat dan menghidupkan suasana dewan.

Menurut penasihat program, Khawarizmi Rafie Tahir, program ini bukan sekadar memenuhi keperluan kokurikulum, malah menjadi ruang penting untuk pembangunan sahsiah pelajar.

“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengekspresikan diri mereka melalui seni. Kita dapat lihat peningkatan keyakinan diri serta semangat kerjasama yang ditunjukkan sepanjang penganjuran.”

Seorang lagi penasihat program, Pengiran Haffey Izzat Abdul Ghafor, turut menekankan kepentingan keseimbangan antara akademik dan aktiviti kokurikulum.

“Selain mengejar kecemerlangan akademik, pelajar juga memerlukan ruang untuk berehat secara sihat. Program seperti ini membantu mereka mengurus tekanan dengan lebih baik di samping mengasah bakat terpendam.”

Dalam pada itu, seorang pelajar yang hadir menyifatkan program ini sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna.

“Suasana memang meriah dan penuh energi. Persembahan semua sangat menghiburkan, terutamanya fusion dance yang jarang dipersembahkan. Ia betul-betul membantu kami ‘release stress‘ daripada tugasan harian.”

Secara keseluruhannya, Malam Seribu Bintang 4.0 berjaya membuktikan bahawa aktiviti kokurikulum mampu menjadi platform penting dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik, bakat dan kesejahteraan emosi. – PMU

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti