
KUCHING, 17 April 2026 – Kolej Komuniti Kuching (KKKG) dengan kerjasama PMG Healthcare Group telah menganjurkan Program Kesedaran dan Latihan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR-Cardiopulmonary Resuscitation) serta saringan kesihatan percuma yang berlangsung di Dewan Serbaguna kolej, hari ini.
Program berimpak tinggi itu berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 121 orang terdiri daripada warga kerja dan pelajar KKKG, sekali gus mencerminkan komitmen institusi dalam memperkasa pengetahuan kesihatan dan kemahiran menyelamat nyawa dalam kalangan komuniti kampus.
Penceramah jemputan daripada PMG Healthcare Group, Tan Yee Boon, telah menyampaikan sesi latihan CPR secara teori dan praktikal, merangkumi teknik bantuan kecemasan yang betul serta langkah awal yang perlu diambil sekiranya kecemasan atau serangan jantung berhenti secara tiba-tiba.
Menurut beliau, penguasaan kemahiran CPR dalam kalangan orang awam amat penting kerana tindakan pantas dalam tempoh beberapa minit pertama mampu meningkatkan peluang mangsa untuk terus hidup sebelum bantuan perubatan tiba.
“CPR bukan sekadar kemahiran tambahan, tetapi satu keperluan asas yang wajar diketahui oleh semua lapisan masyarakat. Ia boleh menjadi penentu antara hidup dan mati dalam situasi kecemasan,” katanya ketika sesi latihan.
Selain latihan CPR, peserta turut berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma sebagai langkah awal dalam mengesan tahap kesihatan masing-masing serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan secara berkala.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang Mandaw , menyatakan pihak pengurusan amat menghargai inisiatif murni yang digerakkan oleh pihak PMG Healthcare Group. Kerjasama ini dilihat sangat signifikan dalam membekalkan kemahiran menyelamat nyawa serta memupuk kesedaran penjagaan kesihatan kepada warga kolej.
Menurut seorang pelajar KKKG yang ditemui, Muhammad Iezlan Mohamad Hasromia,19 turut menzahirkan penghargaan terhadap penganjuran program tersebut.
“Program seperti ini sangat bermanfaat kepada kami sebagai pelajar kerana bukan sahaja meningkatkan kesedaran kesihatan, malah memberi peluang untuk mempelajari teknik CPR yang betul. Saya amat menghargai inisiatif PMG Healthcare Group dan KKKG yang tampil menjayakan program ini kerana ia secara langsung menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan kesejahteraan pelajar,” katanya.
Program seumpama ini dilihat selari dengan aspirasi melahirkan masyarakat berpengetahuan, responsif dan prihatin terhadap aspek keselamatan serta kesihatan, khususnya dalam mendepani situasi kecemasan di persekitaran seharian.

