PMS pacu inovasi TVET, iCoVEx’26 cetus bakat masa depan berimpak tinggi

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
23 April 2026
Aktiviti Pelajar, Industri, Penyelidikan dan Inovasi

Muadzam Shah, 16 April 2026 (Khamis) – Politeknik Muadzam Shah (PMS) terus mengorak langkah sebagai peneraju kecemerlangan inovasi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi penganjuran Innovation and Invention Competition via Exhibition (iCoVEx’26) yang melabuhkan tirainya hari ini dalam Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Anugerah di Dewan Seri Gading.

Majlis telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang.

Turut hadir ialah Tn. Haji Ulaimi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK); Encik Shahrul Nizam bin Mohamed, Timbalan Pengarah Akademik ; Encik Akmal bin Adanan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Melaka merangkap Ketua Panel Juri iCoVEx 2026 serta Encik Mohd Helmi bin Salleh, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik.

Sebanyak 28 kumpulan penyertaan telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, membuktikan keupayaan pelajar TVET dalam menghasilkan idea kreatif dan penyelesaian inovatif yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan ke peringkat lebih luas.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 15 hingga 16 April 2026 ini menghimpunkan pelajar dalam pembentangan dan pameran projek inovasi merangkumi pelbagai bidang termasuk teknologi digital dan Internet of Things (IoT), pemasaran dan perkhidmatan, rekabentuk produk dan multimedia kreatif serta mesin dan peralatan.

Dalam ucapan perasmian penutup, YB Dato Nizar menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem inovasi:

“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong usaha memperkasa bidang sains, teknologi dan inovasi, dan saya percaya kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dan industri akan terus memperkukuh ekosistem inovasi negara.”

Majlis turut menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman bersama rakan strategik industri sebagai usaha memperkukuh jaringan kolaborasi serta meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.

Kemuncak program adalah pengumuman pemenang dan penyampaian anugerah bagi setiap kategori pertandingan serta anugerah keseluruhan iCoVEx’26 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan inovasi yang dihasilkan.

Kejayaan penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan PMS dalam memperkasa budaya inovasi dan kreativiti selaras dengan aspirasi menjadikan TVET sebagai pilihan utama dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan berimpak kepada pembangunan negara.

Pihak Politeknik Muadzam Shah (PMS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Dato’ Nizar Najib NN11 atas kesudian hadir serta menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup iCoVEx’26.

Sekalung tahniah diucapkan kepada semua pemenang iCoVEx’26 atas pencapaian cemerlang yang membanggakan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti