

16–17 April 2026 – Program Xplore, Experience & Capture: Bayu Lestari Program telah berjaya dilaksanakan melalui kolaborasi antara Kolej Komuniti Kota Tinggi dan rakan industri pelancongan, Bayu Lestari Island Resort dalam usaha memperkukuh pendedahan pelajar terhadap realiti industri pelancongan serta pemeliharaan alam sekitar.
Program ini menampilkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui pelbagai pengisian termasuk aktiviti rekreasi air seperti snorkeling, lawatan sekitar pulau serta penerokaan alam marin di kawasan pulau. Salah satu pengisian utama ialah sesi bersama Tengah Island Conservation yang memberi fokus kepada usaha pemeliharaan ekosistem pulau, kesedaran terhadap pencemaran laut serta kepentingan menjaga keselamatan hidupan marin. Pelajar turut didedahkan dengan realiti impak pencemaran apabila ditunjukkan penemuan penyu yang mati terdampar di pesisir pantai, sekali gus memberi kesan kesedaran yang mendalam terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar.
Selain itu, elemen kreatif turut diketengahkan melalui penghasilan video storytelling oleh pelajar berdasarkan pengalaman sepanjang program, yang kemudian dibentangkan untuk penilaian dari perspektif industri.
Menurut pemilik Bayu Lestari Island Resort, Puan Rosmawati, program ini memberi pendedahan yang sangat bermakna kepada pelajar. “Program ini mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar industri pelancongan, bukan sekadar teori tetapi pengalaman langsung di lapangan yang sangat penting untuk membentuk kesiapsiagaan mereka,” katanya.
Seorang pelajar, Zulfadhli, pula menyatakan bahawa program ini memberi pengalaman yang sangat bermakna. “Aktiviti snorkeling dan pendedahan bersama Tengah Island Conservation membuka mata kami tentang keindahan serta ancaman kepada alam marin. Ia memberi kesedaran yang sangat besar kepada kami,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, program ini menjadi wadah pendedahan bermakna kepada dunia lapangan industri pelancongan yang sebenar, sekali gus membuka ruang pembelajaran yang lebih autentik dan menyeluruh kepada pelajar. Pengalaman yang diperoleh bukan sahaja memperkukuh kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pelancongan, malah menzahirkan kesedaran mendalam terhadap kepentingan menjaga kawasan pelancongan sebagai khazanah alam yang bernilai tinggi. Usaha pemeliharaan ini amat penting dalam memastikan kelestarian ekosistem terus terpelihara, agar generasi akan datang dapat terus menikmati keindahan alam secara mampan dan bertanggungjawab.

