Sumbangan Food Bank Siswa bantu ringankan beban pelajar PMU

POLITEKNIK MUKAH
23 April 2026
Aktiviti Pelajar

MUKAH, 23 April 2026 — Sesi penyerahan Sumbangan Ihsan Food Bank Siswa telah berlangsung dengan jayanya di Politeknik Mukah (PMU) hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sarawak bersama Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar serta Gerakan Pengguna Siswa (GPS) PMU.

Program yang diadakan menyaksikan syarikat Lian Huat, Oya menyalurkan sumbangan berjumlah RM2,000 dalam bentuk barangan keperluan asas bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh pemilik Lian Huat, Kevin Ong kepada Pengarah Politeknik Mukah, manakala pihak KPDN diwakili oleh Mohamad Rizal Sehe.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan dan pegawai PMU termasuk Suhaili Aleh, P.B.K, selaku Pengarah Politeknik Mukah, Iskandar Reduan (Timbalan Pengarah Akademik), Sophian Sout (Timbalan Pengarah Sokongan Akademik), Syifaa’ Badri, Nur Iqmal Firdaus Dainis serta Mohamad Shafiq Mohamed Nasaruddin dan Nurul Fatihah Ahmad selaku penasihat GPS.

Dalam ucapannya, Suhaili berkata program seumpama ini amat bermakna dalam membantu kebajikan pelajar.

“Pihak PMU amat menghargai sumbangan yang diberikan. Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu memenuhi keperluan asas pelajar, malah memberi semangat kepada mereka untuk fokus dalam pengajian,” katanya.

Sementara itu, Kelvin Ong turut menzahirkan komitmen pihaknya untuk terus menyokong komuniti pendidikan.

“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban pelajar serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak pihak industri untuk turut sama menyumbang kepada kebajikan masyarakat,” ujarnya.

Seorang wakil pelajar Gerakan Pengguna Siswa, Belteshazzar Uwen, turut berkongsi penghargaan terhadap inisiatif tersebut.

“Sumbangan ini amat membantu kami sebagai pelajar, terutamanya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Kami sangat berterima kasih atas keprihatinan semua pihak yang terlibat,” katanya

Dalam pada itu, pihak pengurusan PMU turut merakamkan penghargaan kepada Lian Huat atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan. Program ini diharapkan dapat diteruskan secara konsisten dengan penglibatan lebih banyak pihak, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan sosial serta meningkatkan kesejahteraan pelajar PMU. — PMU

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti