
KAMPUNG GAJAH, PERAK, 28 April – Pasukan CC Jempol Racing Team dari Kolej Komuniti Jempol (KKJNS) mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul naib juara bagi kategori FSAE EV dalam Pertandingan Formula Student Malaysia (FSM) 2026 yang berlangsung di Litar Dato’ Sagor, di sini.
Kejayaan itu diraih hasil dedikasi, komitmen tinggi serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan ahli pasukan sepanjang dua hari pertandingan yang berlangsung bermula 22 April lalu. Penyertaan ini turut menyaksikan saingan sengit daripada beberapa institusi lain termasuk Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSAS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), ADTEC JTM Kuala Lumpur, ADTEC JTM Perai, Universiti Malaya (UM), Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Kolej Vokasional Sungai Buloh serta Universitas Gadjah Mada, Indonesia.
Pada hari pertama pertandingan, pasukan memulakan cabaran dengan sesi pendaftaran dan pemeriksaan teknikal (scrutineering) sebelum menyertai beberapa acara termasuk ujian dinamik seperti skidpad dan pecutan (acceleration), selain pembentangan statik. Persediaan rapi dan koordinasi pasukan jelas terserlah, sekali gus meletakkan mereka pada landasan terbaik menuju saingan sebenar.
Momentum kecemerlangan diteruskan pada hari kedua apabila pasukan yang mewakili Program Sijil Teknologi Automotif (SAU) itu tampil lebih agresif dalam acara dinamik autocross dan endurance. Mereka mempertaruhkan dua jentera utama iaitu 150CC PENDECAR dan PANG5 EV, yang dibangunkan oleh pelajar dengan bimbingan pensyarah berpengalaman sebagai hasil pembelajaran berasaskan amali.
Sepanjang pertandingan, keupayaan teknikal, strategi serta ketahanan mental pasukan diuji secara menyeluruh, selari dengan aspirasi memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Penyertaan dalam FSM 2026 juga dilihat sebagai platform penting dalam merealisasikan 13 Iltizam Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) 2026, khususnya dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat industri serta antarabangsa.
Pengarah KKJNS, Amalulkhair Sarbini turut hadir memberi sokongan secara langsung di litar dan sentiasa memberikan sokongan padu.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama institusi, malah menjadi bukti keupayaan sebenar pelajar TVET dalam bidang kejuruteraan automotif. Ia diharap menjadi pemangkin kepada pencapaian lebih gemilang pada masa hadapan.

