Eksplorasi Warisan Budaya di Sibu, Sarawak Perkasa Pengalaman Pembelajaran Pelajar Kolej Komuniti Kota Tinggi

KOLEJ KOMUNITI KOTA TINGGI
28 April 2026
Aktiviti Pelajar

Program ini menghimpunkan tiga kursus utama iaitu Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT), Pemanduan Pelancongan (Tourist Guiding) dan Tempahan Tiketan (Ticketing) dalam satu pendekatan bersepadu yang memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar. Melalui lawatan ke Kampung Bawang Assan, para peserta berpeluang menyelami keunikan budaya serta warisan komuniti tempatan yang menjadi tarikan pelancongan di Sibu.

Antara objektif utama program ini adalah meneroka keindahan budaya dan warisan komuniti setempat, memperkukuh kemahiran teknik pemanduan pelancongan yang lebih kreatif dan berkesan serta meningkatkan kemahiran pengurusan tempahan tiketan  dalam situasi sebenar industri pelancongan.

Menurut pensyarah pengiring, Mohd Jeffry bin Zainuddin, program ini memberi nilai tambah kepada pelajar dari aspek kemahiran insaniah dan profesional. “Pendekatan pembelajaran secara langsung bersama komuniti memberi impak yang lebih mendalam. Pelajar bukan sahaja memahami teori, malah mampu mengaplikasikannya dalam situasi sebenar yang memerlukan interaksi, komunikasi dan kreativiti,” jelas beliau.

Sementara itu, wakil pelajar, Siti Aishah binti Mazlan, menyifatkan pengalaman ini sebagai sangat bermakna. “Program ini membuka peluang kepada kami untuk lebih menghargai budaya tempatan dan meningkatkan keyakinan dalam menyampaikan informasi sebagai pemandu pelancong. Ia benar-benar memberi pengalaman yang tidak dapat diperoleh di dalam kelas,” katanya.

Ketua Kampung Bawang Assan turut menyambut baik kehadiran rombongan pelajar dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.“Kami amat mengalu-alukan kehadiran pelajar kerana ia bukan sahaja memperkenalkan budaya kami kepada luar, malah membantu mempromosikan kampung sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti,” ujarnya.

Program ini dilihat sebagai satu inisiatif signifikan dalam melahirkan graduan pelancongan yang bukan sahaja berpengetahuan, malah berkemahiran tinggi serta peka terhadap kepentingan komuniti dalam industri pelancongan negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti