Pelajar Politeknik Muadzam Shah raih pengiktirafan antarabangsa di YBC 2026

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
28 April 2026
Aktiviti Pelajar, Penyelidikan dan Inovasi

Puncak Perdana, 28 April – Sekumpulan pelajar dari Politeknik Muadzam Shah (PMS) terus mengharumkan nama institusi apabila berjaya meraih dua anugerah berprestij dalam pertandingan Young Brainer Competition 2026 (YBC 2026) yang berlangsung di Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana baru-baru ini.

Dalam pertandingan bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pendidikan itu, pasukan inovasi PMS berjaya memenangi Anugerah Emas (Gold Award) serta Anugerah Khas Pembentang Inovasi Terbaik. Kejayaan tersebut diraih menerusi projek bertajuk “Archeritage Hunter as an Interactive Souvenir Design Medium for Cultural and Educational Heritage Engagement” dengan ID Projek PRJ00027.

Projek inovasi ini dibangunkan oleh lima pelajar daripada Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH), iaitu Muhammad Aniq Naufal bin Rozi, Nurin Jaslina binti Ahmad Azlan Shah, Muhammad Hadi Aziz bin Kanin, Nur Zuhayra binti Zulkhairulnizam dan Nur Aina Zarifah binti Azmi. Mereka dibimbing oleh pensyarah, Mdm Farrah Waheeda binti Azan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan projek tersebut.

Kemenangan pasukan ini didorong oleh tahap kreativiti yang tinggi, idea inovatif yang relevan serta penyampaian pembentangan yang jelas dan berkesan. Projek berkenaan menampilkan pendekatan interaktif dalam reka bentuk cenderamata yang bertujuan meningkatkan penglibatan masyarakat terhadap warisan budaya dan pendidikan.

Selain itu, projek ini turut dilihat mempunyai potensi untuk dikembangkan dalam industri pelancongan sebagai medium baharu dalam mempromosikan warisan tempatan secara lebih menarik dan moden. Pendekatan yang digunakan juga selari dengan keperluan semasa yang menitikberatkan penggunaan elemen digital dan interaktif dalam pendidikan.

Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar institusi politeknik mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta menghasilkan inovasi yang berkualiti tinggi dan berimpak besar. Pihak PMS berharap pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan serta memberi inspirasi kepada seluruh warga institusi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti