Inovasi ‘QUIZ ZEP’ bawa tuah, pasukan PMS raih gangsa di pentas antarabangsa

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
28 April 2026
Aktiviti Pelajar, Penyelidikan dan Inovasi

TANAH MERAH, 28 April – Pasukan pelajar Politeknik Muadzam Shah (PMS) sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih Pingat Gangsa (Bronze Medal) bagi kategori Tertiary (Online) dalam International Invention, Innovation and Design Competition 2026 (Hybrid Mode).

Pertandingan berprestij itu dianjurkan oleh Kolej Vokasional Tanah Merah dengan kerjasama Digit360 serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, dan berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai institusi pendidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kejayaan tersebut dicapai menerusi projek inovasi bertajuk “QUIZ ZEP” Pengajian Islam, yang menampilkan pendekatan pembelajaran interaktif berasaskan kuiz digital bagi meningkatkan kefahaman pelajar dalam bidang Pengajian Islam.

Pasukan ini dianggotai oleh lima pelajar iaitu Nur Athirah Husna binti Asrul Nizam, Nurul Natasya binti Rosli, Nurul Ain Zulaikha binti Shahrun Nizam, Rasyidah binti Sabarudin dan Catriona Nur Eriesya binti Abdul Fattah. Mereka dibimbing oleh pensyarah penyelia, Ustaz Mohammad Hafeez bin Md Ramli serta penasihat Ustaz Badrul Hakimi bin Mohd Bastamam dan Ustaz Mohd Firdous bin Mohd Halin.

Projek tersebut dinilai berdasarkan aspek kreativiti, inovasi serta keberkesanan dalam menyampaikan kandungan pembelajaran secara lebih menarik dan berimpak. Kejayaan ini mencerminkan tahap komitmen, dedikasi serta semangat kerjasama berpasukan yang tinggi dalam kalangan pelajar. Selain itu, ia turut membuktikan keupayaan pelajar PMS dalam menghasilkan inovasi pendidikan yang relevan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Pencapaian ini juga dilihat sebagai satu usaha dalam memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran Pengajian Islam dengan memanfaatkan teknologi digital secara kreatif dan efektif.

Pihak PMS menyatakan komitmen untuk terus memperkasa budaya inovasi dan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar, selaras dengan aspirasi pendidikan negara. Kejayaan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti