Pengiktirafan wakil Politeknik Muadzam Shah di Formula Student Malaysia 2026

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
28 April 2026
BERITA, Industri, Kolaborasi

PERAK, 23 April – Politeknik Muadzam Shah (PMS) mencuri tumpuan di peringkat antarabangsa apabila dua wakilnya diberi kepercayaan sebagai juri dalam World Formula Student Series – Formula Student Malaysia 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 April 2026 di Litar Lumba Dato’ Sagor, Perak.

Wakil PMS yang terlibat ialah Pn. Siti Hanis-Syazana binti Mohamad bagi kategori Inspection EV System serta En. Mohd Hafizuddin bin Abu Bakar bagi kategori Inspection Mechanical Structure. Lantikan ini membuktikan pengiktirafan terhadap kepakaran PMS dalam bidang automotif dan teknologi kenderaan elektrik (EV).

Pertandingan berprestij ini menghimpunkan pakar akademik dan industri daripada pelbagai institusi bagi menilai pematuhan kenderaan pelajar berdasarkan standard keselamatan, struktur dan regulasi antarabangsa.

Bagi EV Inspection, barisan juri terdiri daripada AP. Ir Dr Rifqi Irzuan Abdul Jalal (Taylor’s University), Pn. Siti Hanis-Syazana binti Mohamad (Politeknik Muadzam Shah) dan En. Khairul Zakirin (Innovoltion Sdn. Bhd).

Sementara itu bagi Mechanical Inspection, juri yang terlibat ialah En. Muhammad Faiz bin Jansar (Kolej Komuniti Ledang), Ts. Ahmad Fuad bin Anuar (Kolej Komuniti Ledang), En. Mohd Hafizuddin bin Abu Bakar (Politeknik Muadzam Shah), Ts. Dr. Muhammad Hafiz bin Kamarudin (Politeknik Melaka) dan En. Muhammad Aiman bin Abu Johan (Politeknik Melaka).

Sepanjang pertandingan, penilaian dijalankan merangkumi Static Evaluation seperti Cost & Design Presentation serta Scrutineering (Mechanical & Safety Wiring System EV), selain Dynamic Evaluation yang melibatkan Brake Test, Acceleration, Skidpad, Autocross dan Endurance.

Lebih 10 pasukan daripada institusi TVET dan universiti tempatan menyertai pertandingan ini, termasuk wakil dari Indonesia, menjadikannya platform berprestij bertaraf antarabangsa. Antara kategori yang dipertandingkan ialah Formula SAE IC, Formula SAE EV, Formula 150 SP dan Formula 1000.

Turut hadir memberi sokongan ialah YBrs. Sr. Haji Razali bin Johari, Pengarah Politeknik Sultan Azlan Shah.

Penglibatan tenaga pakar PMS sebagai juri bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran institusi, malah turut mengukuhkan kedudukan TVET Malaysia di persada global dalam bidang automotif dan teknologi EV.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti