PMS Cipta Sejarah di Bali: Program Serumpun Nusantara Bali-Malaysia Perkukuh Jalinan Ilmu, Budaya dan Kolaborasi Antarabangsa

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
28 April 2026
Aktiviti Pelajar, Industri, Kolaborasi

BALI, 31 Mac 2026 – Program Serumpun Nusantara Bali-Malaysia: Knowledge Exchange Programme 2026 anjuran pelajar DUP4A, Diploma Pengurusan Pelancongan, Politeknik Muadzam Shah (PMS) telah berlangsung dengan jayanya di Politeknik Pariwisata Bali, Indonesia.

Program berprestij ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia melalui perkongsian ilmu, pertukaran budaya serta pendedahan industri pelancongan. Pelbagai pengisian akademik dan budaya telah dilaksanakan melalui empat modul utama yang memberi nilai tambah kepada peserta.

Antara pengisian utama ialah perkongsian Batik Malaysia oleh Encik Adam Bin Ghazali, diikuti demonstrasi masakan tradisional secara live cooking oleh Chef Mohamad Nazrin Iskandar. Sesi ilmiah bertajuk “Travel Trends in Bali: The Shift in Tourism in the Modern Era” turut disampaikan oleh Ni Putu Evi Wijayanti, SE., M.Par., CEE, CHE, selain persembahan tarian tradisional Malaysia oleh Encik Mohd Jeffry Bin Zainuddin yang mendapat sambutan hangat.

Program ini turut memperkukuh kefahaman peserta terhadap warisan budaya, trend semasa pelancongan serta potensi kerjasama industri antara kedua-dua negara. Lebih bermakna, satu sesi menandatangani Letter of Intention (LOI) turut diadakan sebagai langkah awal kolaborasi strategik antara Politeknik Muadzam Shah dan Politeknik Pariwisata Bali dalam bidang pendidikan, pelancongan dan pertukaran ilmu.

Kelancaran program ini turut disokong oleh pelajar yang diketuai oleh Faiqah Aqilah binti Suhaimi selaku Floor Manager yang memastikan perjalanan program berjalan teratur dan profesional.

Majlis penutup diserikan dengan ucapan daripada Direktur Politeknik Pariwisata Bali, Dr. Drs. Ida Bagus Putu Puja, M.Kes serta Ketua Delegasi PMS, Puan Nurul Huda binti Awang Kalong. Acara turut diserikan dengan tayangan video Visit Malaysia Year 2026 serta persembahan khas “Tarian Warna Malaysia” oleh Unit Tarian DUP4A.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Tourism Malaysia Wilayah Timur, Batik Air, Natural Batik Village, Sama Sama Hotel KLIA dan Pakngah Production Sdn. Bhd.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Politeknik Pariwisata Bali atas kerjasama erat serta layanan mesra sepanjang program berlangsung, dan berharap hubungan strategik ini akan terus diperkukuh pada masa akan datang.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti