PTSB jalin kerjasama meteorologi untuk inovasi TVET

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
28 April 2026
Kolaborasi

KULIM, 28 April 2026 – Usaha memperkasa pendidikan berteraskan data dan teknologi terus diperkukuh apabila Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) melalui Unit Pengurusan Teknologi Hijau (UPTH) mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Sesi ini melibatkan kehadiran En. Azlan Ross bin Omar, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Teknikal MetMalaysia bersama empat pegawai serta barisan pengurusan dan jawatankuasa UPTH PTSB yang diketuai oleh Dr. Samsul bin Abd Rashid, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik.

Perbincangan yang berlangsung membuka ruang kolaborasi pelbagai dimensi, merangkumi perkongsian kepakaran dalam Kursus Hidrologi di Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), pelaksanaan penyelidikan dan inovasi pensyarah serta projek akhir pelajar, di samping penerokaan peluang latihan industri yang lebih berfokus dan relevan dengan keperluan semasa.

Turut diberi penekanan ialah akses kepada aplikasi dan data meteorologi terkini yang boleh dimanfaatkan dalam penyelidikan akademik. MetMalaysia memaklumkan bahawa permohonan data boleh dibuat sama ada secara rasmi atau melalui platform dalam talian MyMetData, sekali gus membuka ruang kepada penyelidikan berasaskan data sebenar yang lebih komprehensif.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan penganjuran webinar sebagai medium perkongsian ilmu kepada pelajar, serta cadangan lawatan akademik ke ibu pejabat MetMalaysia di Petaling Jaya dan Butterworth bagi memberi pendedahan langsung kepada operasi dan teknologi yang digunakan dalam bidang meteorologi.

Sebagai langkah memperkukuh kerjasama jangka panjang, cadangan pelaksanaan Certificate of Collaboration (CoC) turut diketengahkan sebagai manifestasi komitmen bersama dalam memperluas jaringan strategik antara institusi pendidikan dan agensi teknikal negara.

Kolaborasi ini mencerminkan pendekatan proaktif PTSB dalam mengintegrasikan elemen data, teknologi dan kelestarian ke dalam ekosistem TVET, sekali gus memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja kompeten dari segi teknikal, tetapi juga responsif terhadap keperluan industri dan cabaran masa hadapan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti