KKKG perkasa pelajar OKU depani keperluan industri jahitan, fesyen

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
30 April 2026
Aktiviti Pelajar, BERITA

KUCHING, 30 April 2026– Kolej Komuniti Kuching (KKKG) menerusi Unit Perhubungan Latihan Industri dan Alumni terus komited memperkasa kebolehpasaran graduan Sijil Khas Jahitan Kreatif (KJT) dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) agar mampu menembusi pasaran kerjaya dalam bidang jahitan dan fesyen.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan yang dirangka bagi meningkatkan kemahiran teknikal serta keyakinan diri pelajar dalam mendepani cabaran dunia pekerjaan.

Sehubungan itu, kursus penghasilan Baju Melayu Teluk Belanga telah dianjurkan selama dua hari bermula 28 hingga 29 April lalu di Bengkel KJT, Kolej Komuniti Kuching.

Sepanjang program, pelajar didedahkan dengan pelbagai modul kemahiran merangkumi pengenalan asas, pemotongan pola, teknik jahitan, proses kemasan, fitting serta sesi peragaan hasil akhir.

Program tersebut bertujuan memastikan pelajar OKU bukan sahaja menguasai kemahiran asas, malah berupaya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan serta menjana pendapatan secara berdikari.

Pengarah Program merangkap Pegawai Perhubungan Latihan Industri dan Alumni KKKG, Ts. Esuryati Kamarudin berkata, pelaksanaan kursus berkenaan amat penting dalam membantu pelajar mengukuhkan kemahiran praktikal sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Latihan ini dirangka selaras dengan usaha institusi dalam memperkasa kebolehpasaran graduan melalui pendekatan intervensi berfokus, khususnya kepada pelajar berkeperluan khas agar mereka lebih bersedia dan berdaya saing dalam industri,” katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar jemputan, Suhana Mail dari D.S.U Sue Suhana Enterprise berkongsi pelbagai tip serta inovasi jahitan bagi memudahkan pemahaman pelajar, khususnya dalam penghasilan pola dan jahitan Baju Melayu Teluk Belanga.

“Saya menggunakan kaedah yang lebih mudah difahami. Setakat ini, para pelajar berjaya menghasilkan Baju Melayu Teluk Belanga dengan kualiti jahitan yang kemas,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Wan Hibri Abdullah meluahkan keterujaannya mengikuti kursus tersebut.

“Melalui kursus ini, saya dapat mempelajari cara membuat pola baju dan asas jahitan. Kaedah yang diajar mudah diikuti dan ilmu ini sangat berguna kepada saya semasa menjalani latihan industri nanti,” ujarnya.

Program ini dilihat sebagai langkah persediaan awal kepada pelajar sebelum menjalani latihan industri yang dijadualkan bermula Jun 2026, sekali gus membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan sebenar industri jahitan dan fesyen. – KKKG

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti