Permatang Pauh, 7 Mei 2026 – Program Keusahawanan Islam bagi Kursus Penyelenggaraan dan Pemasangan Penyaman Udara serta Kursus Keselamatan Induksi Personel Binaan secara rasminya telah melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutup yang berlangsung di Dewan Kuliah Kolej Komuniti Seberang Jaya.
Program yang berlangsung selama tiga hari ini melibatkan seramai 20 orang belia dari kawasan Permatang Pauh dan berjaya melahirkan sekumpulan usahawan teknikal (technopreneur) yang berdaya saing serta berkemahiran tinggi.
Program ini bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek teknikal, malah turut menyuntik elemen ilmu keusahawanan dan nilai Islamik bagi membantu peserta menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup melalui bidang kemahiran dan perniagaan.
Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Encik Muhannad Hamdi Bin Md Noor, Pegawai Penyelaras KADUN Permatang Pasir. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa bidang kemahiran bukan lagi pilihan kedua, malah mampu memberikan pendapatan yang baik serta membuka peluang untuk menjadi usahawan berjaya.
“Matlamat kita bukan sekadar melatih individu yang tahu membaiki mesin, tetapi melahirkan usahawan yang menjadi ikon integriti di lapangan. Apabila kita menggabungkan kemahiran tangan dengan ketakwaan, keberkatan dalam rezeki akan menyusul,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada semua peserta program. Salah seorang peserta, Muhammad Hawiz Muqri Bin Abdul Ghani, turut berkongsi rasa syukur dan keyakinannya selepas menyertai program ini.
“Dulu saya ragu-ragu untuk bermula, tetapi melalui program ini saya kini lebih yakin untuk memulakan perniagaan dengan prinsip jujur dan telus,” ujarnya.
Majlis penutup ini bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya menjadi titik permulaan buat para peserta untuk memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh demi membina masa depan yang lebih cemerlang.

