Pelajar Asasi POLIMAS cipta Penghadang Jalan Lestari menang Anugerah Emas “Innovation Challenge”

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
10 May 2026
Aktiviti Pelajar, BERITA

Siapa sangka, di sebalik buku teks dan dewan kuliah, pelajar peringkat asasi mampu mencetuskan revolusi dalam keselamatan jalan raya.

Itulah yang dibuktikan oleh dua pelajar Asasi Kejuruteraan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) yang berjaya merangkul Anugerah Emas Projek Terbaik dalam “Innovation Challenge” 2026, hari ini.
 
Membawa idea luar kotak menerusi Inovasi Penghadang Jalan Lestari, pasangan duo Muhammad Faiz Mohd Fatil dan Aqil Farhan Mohamad Fadli berjaya mencuri tumpuan juri.

Prototaip tersebut bukan sahaja dibina menggunakan bahan kitar semula, malah dilengkapi sistem sensor pintar yang mampu memberi maklum balas awal bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.

ISU KESELAMATAN PENGHADANG
 
“Kami mahu selesaikan isu keselamatan penghadang jalan sedia ada yang sering mendatangkan risiko tinggi kepada pemandu. Dengan gabungan elemen hijau dan teknologi sensor, kami harap inovasi ini dapat menyelamatkan nyawa di masa hadapan,” kata pemenang ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
 
Platform Sulung Pencarian Genius Tempatan, pertandingan yang berlangsung meriah yang diadakan di Student Mall POLIMAS itu merupakan edisi sulung yang dikhaskan buat pelajar program Asasi Kejuruteraan.

Menurut Ketua Jabatan Sains dan Matematik, Syukrul Hassani Jamaludin, kejayaan penganjuran kali pertama ini membuktikan pelajar asasi mempunyai potensi besar untuk bergelar pencipta teknologj, bukan sekadar pengguna.

NADI KEPADA BUDAYA

Sementara itu Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) POLIMAS, Hamizi Yahya dalam ucapan perasmiannya menyifatkan program ini sebagai nadi kepada budaya reka cipta di peringkat awal pengajian.
 
“Kita bukan hanya mahu melahirkan graduan yang menerima teori, tetapi kita mahu jurutera masa depan yang berani berinovasi dan kompeten selari dengan kehendak industri. Apa yang dipamerkan oleh pelajar-pelajar ini adalah satu anjakan paradigma dalam dunia TVET,” ulas beliau ketika merasmikan majlis.
 

“Innovation Challenge” 2026 menyaksikan pelbagai prototaip futuristik dipamerkan, rata-ratanya memfokuskan kepada elemen kelestarian dan kecekapan teknologi.

Kejayaan luar biasa para peserta asasi ini sekali gus memberi isyarat jelas bahawa bakat-bakat muda dalam bidang sains dan teknologi kini sudah bersedia untuk meneraju dunia inovasi negara. – JM

Jendelamadani 28 April 2026

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti