Inisiatif makanan percuma bantu kurangkan tekanan pelajar hadapi peperiksaan

POLITEKNIK MUKAH
12 May 2026
Aktiviti Pelajar

MUKAH, 12 Mei 2026 — Politeknik Mukah (PMU) terus memperkukuh budaya kebajikan dalam kalangan warga kampus menerusi pelaksanaan Program Pengagihan Makanan Percuma sepanjang minggu peperiksaan akhir pada 7 dan 8 Mei yang lalu.

Program anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (JHEPP) itu dilaksanakan bagi membantu menjaga kebajikan pelajar yang berdepan tekanan serta kesibukan menghadapi peperiksaan akhir semester.

Inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan pengusaha Kafe 3, Kafe 6 dan Kafe 8 yang tampil menyumbangkan makanan kepada pelajar sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan warga kampus.

Yang Dipertua JPP PMU, Muhammad Rahul Abdullah berkata, program tersebut merupakan usaha kecil pihaknya dalam membantu meringankan beban pelajar selain memberi suntikan semangat sepanjang tempoh peperiksaan.

Menurutnya, terdapat pelajar yang terlalu memberi tumpuan terhadap ulang kaji sehingga mengabaikan waktu makan, justeru pengagihan makanan percuma itu diharap dapat membantu menjaga kebajikan mereka.

“Program ini juga mencerminkan sikap prihatin dan semangat saling membantu dalam kalangan warga kampus,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Penasihat JPP PMU, Tiffany Sam menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik dalam memupuk nilai empati dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, program sedemikian bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah mampu membentuk budaya saling membantu dalam komuniti kampus.

Bagi pelajar, Randon Vitius Rexson, inisiatif itu sedikit sebanyak menceriakan pelajar yang sedang berdepan tekanan peperiksaan akhir.

“Saya amat menghargai usaha JPP dan JHEPP. Walaupun program ini dilihat sederhana, namun ia memberi makna besar kepada pelajar dan membuatkan kami rasa dihargai,” katanya.

Dalam pada itu, wakil pengusaha kafeteria kampus turut menyambut baik penganjuran program tersebut yang disifatkan mampu mengeratkan hubungan antara peniaga dan warga pelajar selain menyemarakkan semangat kerjasama dalam membantu komuniti kampus.

Program berkenaan dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam menyuntik semangat positif, mengurangkan tekanan pelajar serta memperkukuh budaya kebajikan dan kebersamaan dalam kalangan warga Politeknik Mukah. — PMU

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti