Perkasa ekonomi komuniti:150 peserta manfaat kursus percuma KKKG

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
17 May 2026
BERITA, Komuniti

KUCHING, 17 Mei 2026 – Seramai 150 peserta menyertai Kursus Keusahawanan dan Canva yang dianjurkan secara percuma oleh Kolej Komuniti Kuching (KKKG) di Dewan Hikmah, Petra Jaya, yang berakhir hari ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Pengukuhan Bakat Komuniti 2026 di bawah inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kolej berkenaan bagi memperkasa sosioekonomi masyarakat setempat.

Pelaksanaan program itu direalisasikan menerusi peruntukan daripada Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, dengan Kolej Komuniti Kuching terpilih sebagai salah sebuah institusi pelaksana.

Program berkenaan menyasarkan golongan usahawan tempatan, ibu tunggal dan suri rumah bagi membantu mereka menjana serta meningkatkan pendapatan keluarga melalui penguasaan pelbagai kemahiran baharu.

Kursus Keusahawanan dan Canva yang berlangsung pada 16 hingga 17 Mei itu menjadi pembuka tirai kepada siri kursus yang akan dilaksanakan bermula Mei hingga November 2026.

Kursus Keusahawanan dikendalikan oleh Pensyarah KKKG Diana Lim Pei Wen dengan dibantu Nouraisyah Hussen serta Norshafiza Zakaria selaku penyelaras dan fasilitator.

Sementara itu, Kursus Asas Canva disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademik KKKG Nurul Hidayah Yussof bersama fasilitator Syazwanie Abdul Rahman dan Afzan Mohamad Sula.

Rata-rata peserta melahirkan rasa teruja kerana modul yang dipelajari sangat praktikal dan boleh terus diaplikasikan, khususnya dalam menghasilkan bahan pemasaran produk masing-masing.

Seorang peserta, Maimunah Ali, berkata kursus tersebut membuka peluang kepadanya untuk memanfaatkan teknologi moden dalam memperluaskan perniagaan.
“Melalui kursus ini, saya memperoleh ilmu baharu untuk mempromosikan produk masakan saya. Kami juga didedahkan dengan penggunaan teknologi AI (Kecerdasan Buatan) dalam menghasilkan kandungan pemasaran yang lebih kreatif dan menarik,” katanya.

Nada sama turut dikongsi Haliza Bisnul yang menyifatkan kursus itu banyak membantu dalam menghasilkan bahan promosi produk.
“Saya kini mampu menghasilkan katalog produk, poster pemasaran dan juga pelekat (sticker) sendiri. Saya amat berterima kasih kepada Kolej Komuniti Kuching kerana memberi peluang mengikuti kursus ini secara percuma.
“Banyak ilmu baharu yang saya pelajari dan saya juga tidak sabar untuk mengikuti Kursus Aneka Bun dan Donut yang dijadualkan berlangsung pada Ogos nanti,” katanya.

Untuk rekod, siri kursus di bawah Program Pengukuhan Bakat Komuniti 2026 akan diteruskan sehingga November depan.

Antara kursus menarik yang bakal ditawarkan secara percuma termasuk Kursus Aneka Choux Puff, Aneka Chilled Dessert, Aneka Bun dan Donut, Aneka Hot Desserts, Aneka Kraf Jahitan Beg, Penghasilan Manik Burie, Penghasilan Kaftan Wanita, Simenfero, Teknik Cetakan Linut serta Teknik Cetakan Tie Dye dan Silkscreen.

Orang ramai khususnya masyarakat sekitar Kuching disaran merebut peluang tersebut bagi meningkatkan kemahiran serta memperkukuh taraf ekonomi masing-masing.– KKKG

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti