Jelajah laluan ekstrem Lambir, pelajar Kejuruteraan Awam PMU tonjol semangat kental

POLITEKNIK MUKAH
18 May 2026
Aktiviti Pelajar

MIRI, 18 Mei 2026 — Seramai 30 pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), Politeknik Mukah (PMU) membuktikan ketahanan fizikal dan semangat luar biasa apabila berjaya menamatkan Program CIENSTA Geo-Adventure @ Lambir yang berlangung di Taman Negara Lambir, baru-baru ini.

Program selama tiga hari dua malam bermula 15 hingga 17 Mei itu melibatkan penyertaan pelajar peringkat Sijil dan Diploma daripada Semester 1 hingga Semester 4. Program berkonsepkan eksplorasi alam semula jadi tersebut dirancang bagi memupuk semangat kerja berpasukan, kepimpinan serta meningkatkan daya tahan fizikal dan mental dalam kalangan peserta.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam PMU, Canarisa Nipi Ah Lian berkata, beliau amat berbangga dengan komitmen, disiplin dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang program berlangsung.

“Program ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah menjadi platform terbaik dalam membentuk sahsiah diri, meningkatkan keyakinan serta mengeratkan ukhuwah antara pelajar dan pensyarah. Walaupun laluan di Taman Negara Lambir agak mencabar, semangat mereka untuk saling membantu amat membanggakan,” katanya.

Bagi wakil pelajar, Troy Zackharry Charles Martan, pengalaman meredah trek hutan di Lambir memberi pendedahan baharu dalam membina kekuatan mental sebagai bakal jurutera.

“Setiap perjalanan memerlukan disiplin, komunikasi dan kerjasama yang baik sesama ahli kumpulan. Pengalaman ini mengajar kami erti sebenar kepimpinan serta pentingnya saling menyokong ketika berdepan cabaran,” ujarnya.

Sementara itu, Fiona Rachel Ukon menyifatkan program luar bilik kuliah seperti ini berjaya menyuntik motivasi dan semangat baharu untuk kembali fokus dalam pengajian.

“Kami bukan sahaja pulang dengan pengalaman yang berharga, malah kenangan manis yang mengeratkan hubungan kami sebagai keluarga besar JKA,” katanya.

Program berimpak tinggi ini bukan sahaja berjaya meningkatkan ketahanan fizikal dan kemahiran komunikasi interpersonal pelajar, malah membuktikan kemampuan mahasiswa PMU dalam menggalas tanggungjawab serta memimpin secara berpasukan.

Program tersebut turut menjadi penutup tirai kalendar aktiviti Kelab CIENSTA bagi Sesi II: 2025/2026 dan mendapat sokongan penuh daripada Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) PMU, Sanmastri Sanusi bersama pensyarah pengiring yang sentiasa komited memastikan kelancaran serta keselamatan peserta sepanjang program berlangsung. — PMU

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti