
PERMATANG PAUH, 18 Mei – Politeknik Seberang Perai (PSP) menerusi Unit SmartGreen telah berjaya menganjurkan program Green Week PSP 2026 yang berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian alam sekitar dan gaya hidup hijau melibatkan penyertaan warga PSP. Program yang membawa tema “Kuasa Kecil, Impak Besar Bersama Kita Lestari Alam Sekitar” ini bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti kampus terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar serta pengurangan jejak karbon.
Antara pengisian utama program ialah aktiviti Brisk Walk sejauh 5 kilometer yang berjaya menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus. Selain itu, program Earth Hour: Switch Off & Step On turut mendapat sambutan apabila seluruh warga PSP bersama-sama menutup lampu, komputer serta peralatan elektrik yang tidak kritikal sepanjang tempoh Earth Hour sebagai simbolik sokongan terhadap agenda penjimatan tenaga dan kelestarian alam sekitar.
Program ini dilaksanakan dengan beberapa pendekatan utama termasuk penutupan lampu, kipas, penghawa dingin dan peralatan elektrik yang tidak diperlukan di pejabat, bilik pensyarah, bilik mesyuarat dan ruang kerja staf yang tidak melibatkan operasi kritikal. Warga PSP turut mengambil bahagian dalam sesi brisk walk dan aktiviti bergambar khas “Earth Hour” sebagai tanda sokongan terhadap kempen tersebut.
Dalam usaha memperkukuhkan amalan kitar semula dan tenaga hijau, PSP turut mengadakan Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai yang berlangsung di kawasan parkir bersebelahan Pusat STEM PSP. Kempen ini mengajak warga kampus dan komuniti setempat menyumbang minyak masak terpakai untuk diproses semula menjadi tenaga boleh diperbaharui, sekali gus membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Selain itu, inisiatif Car Free Campus turut diperkenalkan sepanjang program berlangsung bagi menggalakkan warga PSP berjalan kaki, berbasikal atau menggunakan pengangkutan awam di sekitar kampus. Langkah ini dilihat mampu membantu mengurangkan pelepasan karbon serta menyemai budaya mobiliti hijau dalam kalangan warga kampus.
Program Green Week PSP 2026 turut dimeriahkan dengan aktiviti pelepasan ikan di tasik PSP serta penanaman pokok di sekitar kawasan kampus sebagai usaha memupuk kesedaran cinta akan alam sekitar dan menghijaukan kawasan kampus secara berterusan.
PSP berharap program seperti ini dapat terus membudayakan amalan hijau dan meningkatkan kesedaran masyarakat kampus terhadap kepentingan memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

