SmartGreen Cleanup Challenge 1.0, KKKG berjaya kumpul 777.05kg sampah

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
25 May 2026
BERITA, Umum

KUCHING, 25 Mei 2026 – Warga Kolej Komuniti Kuching (KKKG) menunjukkan komitmen tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar apabila berjaya mengumpul sebanyak 777.05 kilogram (kg) sampah menerusi program SmartGreen Cleanup Challenge 1.0 yang diadakan di sekitar kawasan KKKG dan Jalan Sultan Tengah, hari ini.

Program berkenaan dianjurkan bagi menyokong aspirasi SmartGreen PolyCC ke arah mewujudkan kampus hijau dan lestari, selain meningkatkan kesedaran warga kolej mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

Program bermula seawal jam 9 pagi dengan taklimat program yang disampaikan oleh Pensyarah dan Ketua Jawatankuasa Smartgreen POLYCC, Ledia Angul, diikuti taklimat keselamatan oleh Ketua Unit Perancangan Strategik dan Penyelarasan Program, Shah Nazim Shahar sebelum para peserta menyertai senamrobik kendalian Pensyarah Sijil Teknologi Senibina, Widad Syamila Samsudin.

Bagi melancarkan pelaksanaan aktiviti, warga KKKG dibahagikan kepada lima kumpulan yang menjalani proses undian bagi menentukan zon pembersihan masing-masing di sekitar kawasan kolej serta sekitar Jalan Sultan Tengah.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang Mandaw, melahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan semangat kerjasama yang ditunjukkan warga kolej sepanjang program berlangsung.

“Saya amat berbangga melihat seluruh warga KKKG berganding bahu memastikan kawasan persekitaran kolej kekal bersih dan terpelihara. Semangat kerjasama yang ditunjukkan hari ini membuktikan komitmen kita terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membudayakan amalan kampus hijau dalam kalangan warga kolej dan komuniti setempat.

“Usaha seperti ini wajar diteruskan secara konsisten supaya kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dapat dipupuk secara berterusan,” tambahnya.

Menariknya, program gotong-royong tersebut turut menerapkan elemen pendigitalan apabila para peserta menggunakan aplikasi Clean Swell bagi merekodkan jenis dan kuantiti sampah yang dikumpul sepanjang program berlangsung.

Pendekatan itu bukan sahaja memudahkan proses pengumpulan data sisa secara sistematik, malah memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan teknologi dalam pengurusan alam sekitar serta pembangunan kampus lestari.

Pelaksanaan program berkenaan turut mencapai beberapa objektif utama termasuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan warga kolej, membudayakan amalan kampus hijau, memperkasa literasi digital serta menyokong agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya dalam usaha mewujudkan bandar dan komuniti yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan di samping melindungi sumber semula jadi serta iklim untuk generasi akan datang.

Penganjuran program ini juga selari dengan Iltizam Ke-7 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang diketengahkan Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah iaitu Pembudayaan Kemampanan yang menekankan bahawa kelestarian bukan lagi satu pilihan, sebaliknya tanggungjawab bersama yang perlu digerakkan secara berterusan dan menyeluruh dalam kalangan warga POLYCC.

Melalui pelaksanaan program seperti SmartGreen Cleanup Challenge 1.0, KKKG turut menyokong usaha memperkukuh agenda kemampanan POLYCC menerusi pendekatan 3R iaitu Reuse, Reduce dan Recycle, selain menggalakkan pengurangan jejak karbon, pengurusan sisa secara sistematik serta pembentukan budaya kerja dan kehidupan yang lebih lestari.

Secara keseluruhannya, kejayaan mengumpul lebih 777 kilogram sisa pepejal itu bukan sahaja berjaya membersihkan kawasan sekitar KKKG dan Jalan Sultan Tengah, malah turut memperkukuhkan imej Kolej Komuniti Kuching sebagai institusi pendidikan yang komited terhadap pembangunan mampan serta pengurusan alam sekitar secara sistematik.

Penganjuran program seumpama ini juga dijangka terus menjadi inisiatif perintis dalam membentuk minda dan budaya warga kolej agar sentiasa cakna terhadap kepentingan memelihara kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.-KKKG

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti